Ahli Parlimen DAP gesa Wee Ka Siong sertai Pas

KUALA LUMPUR - Seorang Ahli Parlimen DAP mencadangkan agar Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyertai Pas susulan dakwaan bahawa beliau mendapat sokongan daripada blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Chong Zhemin (PH–Kampar) membangkitkan perkara itu sejurus selepas Ka Siong (BN–Ayer Hitam) selesai membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

"Ahli Parlimen Ayer Hitam berucap ke arah pembangkang, bolehlah sertai pembangkang. Masuk Pas, Pas alu-alukan MCA," katanya ketika mencelah.

Terdahulu, Ka Siong menerima teguran daripada Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong Yien yang menegaskan bahawa beliau tidak seharusnya hanya memandang ke arah blok pembangkang semasa berbahas.

Menurut Alice, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 31(1), mana-mana ahli yang dipanggil oleh Pengerusi Dewan hendaklah berdiri dan mengarahkan ucapannya kepada pengerusi, bukan hanya kepada blok tertentu.

Susulan itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN–Beluran) bangkit mempertahankan Ka Siong dan menyelar kenyataan Chong Zhemin.

"Beliau pandang sini sebab dapat sokongan daripada sini. Beliau tak boleh pandang sana sebab DAP serang dia," ujar Ronald.

Ketika sesi perbahasan, berlaku pertikaman lidah antara Ka Siong dan Zhemin berhubung dakwaan Ka Siong bahawa kerajaan telah melakukan 'rompakan cukai'.

Ka Siong kemudiannya meminta supaya Zhemin dan pihak pembangkang menarik balik kenyataan dan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

"Minta tarik balik. Itu kenyataan retorik. Setiap kali saya berucap, itulah gelagat mereka," tegas Ka Siong.