SHAH ALAM - Pertembungan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh dielak dengan mengguna pakai formula atau mekanisme yang memberi keutamaan kepada parti penyandang untuk bertanding dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Romzi Ationg berkata, kaedah itu antara perkara yang boleh dipertimbangkan ketiga-tiga gabungan berkenaan sekiranya ingin membentuk kerajaan selepas pilihan raya nanti.
“Setakat ini kita tidak mempunyai maklumat jelas mengenai strategi ketiga-tiga gabungan berkenaan. Ada kemungkinan pertembungan antara satu sama lain akan terjadi juga.
“Namun, saya anggap kaedah incumbency atau memberi keutamaan kepada parti penyandang sesuai digunapakai bagi urusan ini (elak pertembungan tiga penjuru),” katanya kepada Sinar Harian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad dilapor berkata, PH akan memastikan tiada pertembungan tiga penjuru dengan BN dan GRS pada PRN akan datang.
Anwar yang juga Pengerusi PH dan Presiden PKR berkata, setakat ini pihaknya sedang berusaha mencapai persetujuan supaya pertembungan antara ketiga-tiga gabungan dapat dielakkan.
Sementara itu, ditanya mengenai kesediaan ketiga-tiga gabungan itu menarik diri daripada bertanding di kawasan tertentu sekiranya rundingan gagal dan pertembungan berlaku, Romzi menjangkakan sukar untuk mana-mana parti mengalah.
Ini kerana katanya, setiap parti berhasrat mengekalkan atau mendapatkan jumlah kerusi yang memadai mengikut perancangan masing-masing.
“Saya tidak yakin ada parti yang bersedia sepenuhnya untuk kompromi dan menarik diri. Kita pernah disajikan dengan keadaan ada calon Bebas yang diletakkan oleh parti tertentu untuk bertanding di kawasan yang mana kompromi tidak berjaya. Tidak mustahil hal ini berlaku lagi,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama politik antara PH, BN dan GRS di Sabah berisiko menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan akar umbi yang mungkin menganggap ia sebagai ‘pakatan demi kuasa’, beliau tidak menafikan kemungkinan tersebut.
Ujarnya lagi, rakyat dahagakan pemimpin mementingkan kepentingan rakyat bukan pihak yang berusaha semata-mata untuk berkuasa.
“Rakyat makin celik politik dan sudah semestinya pemain politik sedar tentang keadaan ini,” katanya.