PASIR GUDANG – Golongan muda bakal menjadi penentu kepada kemenangan mana-mana parti dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) apabila mereka membentuk kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan pengundi di negara ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jumlah itu menunjukkan betapa pentingnya pendekatan lebih strategik dan relevan perlu digerakkan untuk mendekati kumpulan tersebut.
“Kita kena buat ‘engagement’ yang betul dengan golongan ini. Mereka bukan seperti dahulu. Ramai yang mempunyai pendidikan tinggi, ada PhD, ada ijazah sarjana, ada ijazah dan cara mereka menilai calon sangat berbeza.
“Orang muda di Kuala Lumpur tak sama dengan orang muda di Kedah atau Johor Bahru. Kita tak boleh guna satu pendekatan untuk semua. Pemikiran mereka dinamik dan kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar pada Sabtu.
Hadir sama, Naib Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Johari berkata, UMNO menyedari cabaran untuk meraih sokongan golongan muda dan akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperluaskan capaian serta pendekatan yang lebih dekat dengan komuniti.
“Kita tak boleh hanya harap jentera lama atau program tradisional sahaja. Golongan muda lebih dekat dengan dunia digital dan lebih banyak maklumat, jadi kita mesti kreatif dan jujur dalam mendekati mereka,” ujarnya.
Dalam ucapannya, Johari menegaskan bahawa UMNO bukan platform untuk memburu jawatan atau kekayaan, sebaliknya sebagai wadah perjuangan yang telah memainkan peranan besar sejak sebelum merdeka.
“Ramai pejuang UMNO dulu tidak pun mendapat jawatan selepas merdeka, tetapi semangat perjuangan itu diteruskan hingga melahirkan ramai tokoh cerdik pandai,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak boleh terlalu yakin menjelang PRU akan datang.
“BN tak boleh ‘syok sendiri’ dan sangka kita akan menang mudah. Dinamika politik sekarang sangat berbeza dan rakyat terutama pengundi muda menilai berdasarkan prestasi dan integriti,” tegas beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.