PRN Sabah: BN sasar tanding 25 kerusi, asas rundingan dengan PH - Mohamad

 

PUTATAN - Sekurang-kurangnya 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ditandingi Barisan Nasional (BN) hasil rundingan antara UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, pembahagian tersebut berpandukan kepada jumlah 25 kawasan Parlimen di Sabah yang mana masing-masing perlu mempunyai sekurang-kurangnya satu kerusi DUN untuk ditandingi.

“Sebelum ini di Kimanis saya sudah nyatakan, saya mahu sekurang-kurangnya satu wakil bertanding di peringkat DUN bagi setiap kawasan Parlimen. Secara logiknya, kalau ada 25 Parlimen, maka akan ada sekurang-kurangnya 25 kerusi DUN.

"Itu asas rundingan kita, jadi bolehlah dikatakan, ya, UMNO dan BN mencadangkan sekurang-kurangnya 25 kerusi untuk ditandingi," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putatan di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, rundingan bersama PH sedang berjalan dan prinsip satu kerusi DUN bagi setiap kawasan Parlimen adalah perkara yang tidak boleh dikompromi.

"Itu yang sedang kita rundingkan dan asas perundingan kita dengan PH, asasnya saya beri mandat kepada jawatankuasa perunding setiap satu Parlimen mesti ada satu wakil BN. Itu tidak boleh dirunding," tegasnya.

Sebelum itu, Mohamad ketika di Kimanis berkata, UMNO dan BN berhasrat untuk meletakkan sekurang-kurangnya satu calon di kerusi DUN bagi setiap Parlimen di Sabah pada PRN kali ini.

Mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang menyindir kerjasama antara BN dan PH dan baru-baru ini GRS pula menyatakan untuk kekal bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN Sabah sebagai 'cinta tiga penjuru', Mohamad berkata beliau enggan melayan sindiran politik seperti itu.

"Setiap parti ada cara mereka sendiri, itu urusan mereka. Bagi pihak parti saya, UMNO dan BN telah membuat ketetapan untuk bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN17 di Sabah," katanya.

Beliau menegaskan fokusnya adalah terhadap gerak kerja parti dan bukan komen daripada pihak luar.

"Orang lain nak kata cinta tiga segi kah, empat segi kah, lima segi kah… itu hak mereka. Saya tak mahu komen pasal orang lain. Saya tahu apa yang saya nak buat dan itu yang saya akan fokuskan.

"Kalau ada yang nak bergolek-golek atas lantai sekali pun, itu terpulang kepada mereka," katanya sambil berseloroh.