JOHOR BAHRU – Kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang seolah-olah memberi bayangan parti itu akan keluar daripada Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi MIC.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan, kenyataan dibuat secara individu tidak boleh dianggap sebagai keputusan parti.
“Ada ke? Bila dia cakap? Dia cakap ke, parti dia cakap? Dia? Dia tak boleh (buat kenyataan mewakili parti). Individu tak boleh.
“Saya dengan (Datuk) Jazlan (Mohamed) pun selalu bercakap benda yang tak selari dengan parti, tetapi kalau parti buat keputusan, itu lain. Ini individu, lain.
“Kalau individu, semua orang nak bercakap. Tapi kalau parti buat keputusan, itu baru saya akan bagi komen. Sekarang ini tak boleh bagi komen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini pada Sabtu.
Tambah Johari, kenyataan sesetengah pemimpin mungkin dibuat dalam keadaan beremosi, justeru beliau menyeru agar semua pihak tidak mengeruhkan lagi keadaan.
“Individu kadang-kadang 'out of anger', jadi kita biar dululah. Jangan mengeruhkan suasana,” katanya.
Bulan lalu, Saravanan dalam satu temu bual bersama sebuah akhbar mendakwa dirinya dan MIC seolah-olah ditipu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjanjikan jawatan Kabinet sekiranya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Tapah itu turut menyuarakan kekecewaan kerana MIC didakwa tidak diberi sebarang peranan dalam kerajaan serta memberi bayangan tidak perlu meneruskan kerjasama jika tidak diperlukan.