JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) tidak menghadapi sebarang masalah dalam isu pembahagian kerusi sekiranya bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara paling utama adalah rundingan dilakukan secara harmoni bagi mengelak pertembungan sesama sendiri.
“Yang penting jangan berlaga, kalau berlaga sesama kita yang untung orang lain. Kita pakat-pakatlah kerana ini nak bina negeri, ada tujuan dan matlamat yang sama.
"Ini bukan untuk kepentingan diri. Kita teruskan (perbincangan), ada strategi, yang penting jangan berlaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Pada 27 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan GRS akan meneruskan kerjasama politik dengan PH Sabah untuk menghadapi PRN negeri itu.
Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 29 Julai turut memaklumkan bahawa BN dan PH telah ‘mengunci’ perjanjian kerjasama sebagai persiapan menghadapi PRN Sabah, walaupun PH dan GRS sebelum ini sudah menjalin kesepakatan.
Sebelum itu dalam ucapannya, Johari menyeru seluruh jentera UMNO supaya bersiap sedia menghadapi PRN Sabah, disusuli PRN Melaka dan Johor yang dijangka akan menyusul.
Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO pernah mencatat prestasi cemerlang dalam PRN Johor sebelum ini apabila memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga.