MIC terbuka runding kerjasama dengan parti lain

SUNGAI SIPUT - MIC secara terbuka menyatakan kesediaan untuk membuka ruang perbincangan dengan mana-mana parti lain kelangsungan parti berkenaan.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, keputusan itu juga dibuat demi membela nasib masyarakat India.

Menurutnya, keputusan itu dibuat atas dasar kepentingan parti dan bukan kerana tekanan daripada mana-mana pihak.

“Kita sudah buat keputusan bahawa seseorang pemimpin harus membuat keputusan mengikut kebaikan parti. Maka saya telah membuat keputusan untuk membuka ruang perbincangan dengan parti-parti lain.

“Kalau itu akan memberi kebaikan kepada parti, saya akan lakukan apa sahaja yang perlu. Demi masyarakat India jugalah,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MIC Negeri Perak ke-79 di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M Ramasamy.

Vigneswaran turut menegaskan bahawa keputusan itu diharap tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Beliau dalam nada sama tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kedudukan MIC sekarang.

“Saya ini Presiden parti. Saya tidak salahkan orang. Semua orang pun dalam keadaan susah. Tapi mereka juga tidak boleh salahkan kita.

“Kalau kita lemah, kita terima. Tapi kita akan buat keputusan yang munasabah demi memperkasakan parti ini,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun tiada pelawaan rasmi daripada mana-mana parti lain setakat ini, beliau terbuka untuk sebarang rundingan demi masa depan MIC.

Vigneswaran juga kesal dengan tindakan seorang pemimpin DAP Perak yang juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengeluarkan kenyataan menyinggung MIC.

Menurutnya, biarpun MIC tiada di dalam Kabinet, parti itu tetap menunaikan janji untuk menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi penggal ini.