SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menumpukan usaha memperkukuh dan memantapkan organisasinya di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara fokus utama ketika ini adalah penstrukturan semula cawangan mengikut daerah mengundi dan lokaliti, penambahan keahlian serta pengukuhan jentera pilihan raya di semua peringkat.
"Tanggungjawab yang digalas oleh Setiausaha Badan Pimpinan Negeri (SUBPN) sangat berat dan mencabar bagi memastikan pengurusan serta pentadbiran cawangan dan bahagian selaras dengan perlembagaan serta peraturan parti.
“Saya kagum dengan komitmen ditunjukkan SUBPN dan Penolong Setiausaha (PSU) sayap-sayap parti yang sentiasa memberikan khidmat dan bakti demi perjuangan mengangkat martabat rakyat dan memakmurkan negara,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.
Kenyataan itu susulan perjumpaan beliau bersama SUBPN dari seluruh negara serta PSU sayap-sayap Bersatu pada pagi Sabtu.
Mohamed Azmin turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang hadir dalam pertemuan tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada usaha konsisten memperkasa parti.
“Perjumpaan ini akan diteruskan secara berkala bagi memastikan agenda pemantapan dan pengukuhan Bersatu dapat dicapai dengan lebih menyeluruh,” ujarnya.