TAWAU – Perikatan Nasional (PN) menegaskan komitmennya untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan tidak lama lagi sebagai langkah memperjuangkan nasib rakyat tanpa terikat dengan mana-mana gabungan yang bersifat sementara dan mengelirukan.
Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyindir tindakan sesetengah pemimpin yang melaungkan perjuangan parti tempatan tetapi pada masa sama membentuk pakatan politik bercelaru yang dilabel sebagai ‘cinta tiga penjuru’ dan tidak membawa manfaat kepada rakyat.
“Mahu pergi solo bertanding pun susah. Buat konvensyen mahu solo, bukan main semangat, meletup dewan. Tetapi bila jumpa PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim), takut. Apa jadi?
“Wujudlah gabungan cinta tiga penjuru. Yang ini bergabung dengan yang ini, yang sebelah sana pula bergabung dengan yang lain. Siapa untung? Yang tengah-tengah. Dia sedarkah cinta tiga penjuru?” katanya ketika berucap pada majlis Jelajah Rakyat PN di sini, malam Jumaat.
Menurut beliau, PN tidak gentar untuk bertanding secara bersendirian kerana pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, dan yakin masih mendapat sokongan rakyat.
“Mahu takut apa? Ini logo kerajaan PN pertama di Sabah. Saya tahu rakyat Sabah masih cinta dan sayang kepada PN. Betul ke tidak?” katanya yang disambut sorakan para penyokong.
Beliau turut mengkritik slogan retorik ‘Sabah untuk Sabah’ yang didakwanya digunakan secara selektif oleh sesetengah parti.
“Mereka kata berjuang untuk Sabah tetapi kenapa ada masalah tidak selesai? Mereka kata hanya parti Sabah boleh memerintah, tapi lesen cari gali diberi kepada orang Malaya (Semenanjung).
“Kita pergi solo, tidak perlu wujud cinta tiga penjuru. Bilang Sabah untuk Sabah, bilang hanya parti Sabah tidak betul,” ujarnya.
Ronald turut menggesa semua pihak menghentikan amalan melompat parti yang dilihat mencemarkan proses demokrasi dan merosakkan kestabilan politik negeri.
“Kita beritahu kepada mereka, berhenti melompat parti. Dulu pakai baju PN, sekarang tukar baju demi kelangsungan politik masing-masing. Tapi orang-orang PN tidak berganjak. Walaupun kita pembangkang, kita tetap ramai. Walaupun tiada cabutan bertuah, tiada artis… inilah sokongan ikhlas rakyat Sabah,” katanya.
Beliau yakin gelombang sokongan terhadap PN akan terus meningkat dan mampu menumbangkan kerajaan GRS sedia ada yang didakwanya semakin hilang arah.