Abdul Hadi kekal presiden, panglima perang Pas

KOTA BHARU - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih relevan untuk terus memimpin parti itu tanpa perlu dipersoalkan dari segi usia atau kemampuan fizikal Ahli Parlimen Marang tersebut.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa faktor usia bukan perkara pokok dalam memimpin sesebuah parti, sebaliknya pengalaman lebih diutamakan.

"Kalau ada ijazah tetapi tiada pengalaman politik, susah untuk bergerak. Jadi, pengalaman itu lebih utama, bukan semata-mata kelulusan akademik.

"Berbalik kepada kedudukan Tok Guru (Abdul Hadi), beliau adalah panglima perang bagi Pas. Jadi, Tok Guru tidak perlu turun ke medan perang, hanya merancang strategi perjuangan," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Mohd Amar sebelum itu merasmikan Karnival Kelantanku Cakna di Masjid Jamek Muhammadi, di sini.

Menurutnya, umur bukan perkara utama — kadang-kadang orang muda ada kebolehan, dan orang tua pun ada kebolehan, namun dari segi tenaga mungkin kurang tetapi memiliki pengalaman.

Ujarnya, yang turun ke medan ialah golongan muda, seperti dalam tentera. Panglima tidak turun berperang, hanya prebet sahaja.

"Tetapi panglima perang yang merangka strategi dan sebagainya. Jadi, bagi saya tiada masalah, Tok Guru (Abdul Hadi) boleh terus menjalankan tugas itu,” katanya.

Pada masa yang sama, Mohd Amar berharap agar para perwakilan Pas memilih barisan ahli jawatankuasa pusat yang benar-benar berkelayakan dan datang daripada latar belakang yang berbeza.

Menurutnya, ahli jawatankuasa Pas Pusat ini sebenarnya menjadi sokongan utama kepada presiden dalam melaksanakan kerja-kerja parti.

"Jadi, kita harap akan berlaku perubahan besar di peringkat ini," katanya.