PRN Sabah: UMNO-BN tanding sekurang-kurangnya satu kerusi DUN setiap Parlimen

PAPAR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhasrat untuk meletakkan sekurang-kurangnya satu calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu penting bagi memastikan semangat akar umbi parti kekal kukuh dan tidak terpinggir seperti yang berlaku dalam PRN terdahulu.

"Itu menjadi tunggak hasrat kita, supaya UMNO Sabah atau BN di setiap Parlimen di Sabah ini dapat menghantar sekurang-kurangnya satu wakil.

"Tidak seperti PRN yang lalu, terdapat Parlimen dan bahagian yang langsung tidak diwakili BN. Ini mematahkan semangat ahli UMNO dan jentera BN di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kimanis, di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, ketiadaan calon BN di kawasan tertentu dalam PRN lalu menyebabkan ahli-ahli parti tidak mempunyai peranan dan akhirnya berasa kecewa sehingga ada yang memilih untuk meninggalkan parti.

"Kerana mereka tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan semasa pilihan raya. Dan yang tidak baiknya, nanti mereka akan putus asa dan memilih untuk meninggalkan parti. Itu sesuatu yang tidak baik.

"Tetapi jika dalam satu Parlimen itu ada dua atau tiga DUN, sekurang-kurangnya satu kerusi diberi kepada BN untuk bertanding, sekurang-kurangnya sejuklah hati ahli-ahli parti di kawasan tersebut," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perkara itu telah disampaikan kepada kepimpinan tertinggi parti dan akan dibincangkan melalui saluran rasmi.

"Sudah ada perbincangan, tetapi kita serahkan dahulu kepada jawatankuasa perunding dan Setiausaha Agung parti.

"Namun, ini adalah pesan saya kepada Setiausaha Agung, supaya hasrat kita ini jangan diketepikan. Sekurang-kurangnya satu kerusi dalam setiap Parlimen mesti ada wakil BN untuk bertanding di kawasan tersebut," tegasnya.

Mengulas mengenai hasrat Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang mahu Barisan Nasional kembali bertanding di dua kerusi DUN dalam Parlimen tersebut, Mohamad berkata, permintaan itu berasas memandangkan kawasan berkenaan pernah menjadi kubu kuat parti itu.

"Parlimen Kimanis ini sememangnya merupakan kubu kuat Barisan Nasional dan UMNO pada satu ketika dahulu. Namun, pada PRN yang lalu, dua DUN iaitu Membakut dan Bongawan tidak dapat diwakili oleh BN.

"Itu sebabnya Ketua Bahagian, Datuk Mohamad Alamin, menyuarakan hasrat UMNO Kimanis supaya BN diberi peluang meletakkan calon di kedua-dua DUN tersebut," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan tidak boleh dibuat secara individu kerana rundingan pembahagian kerusi masih belum dimuktamadkan di peringkat parti.

"Saya tidak boleh buat keputusan muktamad kerana rundingan antara parti-parti untuk menghadapi PRN Sabah masih berjalan dan belum dimuktamadkan," katanya.