Pas sentiasa pertahan Islam, perlembagaan - Tuan Ibrahim

SHAH ALAM - Pas menegaskan akan sentiasa mempertahankan setiap perkara dijamin oleh Islam dan Perlembagaan selaras dengan prinsip yang dipegang parti itu sejak dahulu lagi.

Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara tersebut ditegaskan semasa pertemuan bersama bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy.

Menurutnya, P Ramasamy bersama delegasi bertemu dan berpeluang mengenali Pas dengan lebih dekat di Parlimen.

"Beberapa perkara berkaitan kaum India, seperti isu pendidikan dan juga kesedaran politik disuarakan oleh beliau dalam pertemuan ini.

"Insya-ALLAH Pas akan selalu berdialog untuk memberi kefahaman mengenai keindahan Islam kepada sesiapa sahaja," ujarnya menerusi laman Facebook pada Rabu.

Tuan Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada P Ramasamy yang bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II.

"Terima kasih yang berhormat dan delegasi," jelasnya.