SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) melihat langkah memperluas takrif ‘pendidikan wajib’ menerusi Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 sebagai satu reformasi pendidikan yang progresif dan strategik khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan melalui peningkatan akses kepada pendidikan.
Setiausaha Agung MBM, Ahmad Farhan Rosli berkata, pindaan itu juga penting untuk memperkasa pembangunan insan negara, melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan seimbang dari segi intelektual, emosi serta sosial.
"Pindaan itu merupakan antara perkara diperjuangkan MBM melalui saluran Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang membuktikan bahawa suara dan aspirasi belia Malaysia didengari serta diambil serius dalam proses penggubalan dasar awam dan pendidikan negara.
"MBM turut berharap pindaan terbabit akan diluluskan di Dewan Negara dalam masa terdekat. Ini wajar disusuli dengan pelaksanaan menyeluruh, adil dan inklusif tanpa mengabaikan golongan rentan seperti pelajar luar bandar serta keluarga berpendapatan rendah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, media melaporkan sistem pendidikan negara membuka lembaran baharu apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang bertujuan mewajibkan pendidikan menengah diluluskan Dewan Rakyat pada malam Rabu.
Melalui pindaan itu, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak warganegara Malaysia dan menetap di dalam negara diwajibkan untuk mendaftarkan anak mereka di institusi pendidikan menengah diiktiraf dan memastikan kehadiran anak-anak mereka sepanjang tempoh persekolahan tersebut.
Justeru, Ahmad Farhan memaklumkan, pihaknya menyokong penuh kelulusan RRU melibatkan perubahan penting terhadap Akta Pendidikan 1996 itu dengan memperluas takrif pendidikan wajib.
Menurutnya, langkah itu penting agar ia merangkumi bukan sahaja pendidikan rendah, tetapi turut meliputi pendidikan menengah.
Tambah beliau, MBM komited untuk terus menjadi rakan strategik kerajaan dalam memacu pembaharuan sistem pendidikan negara demi membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.