JOHOR BAHRU – Pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor yang baharu disifatkan oleh Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa sebagai satu tanggungjawab besar, bukan keistimewaan.
Dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Khamis, Ahli Parlimen Sekijang itu berkata, beliau menerima amanah tersebut dengan penuh tawaduk dan komitmen bagi memperkukuh gerak kerja parti serta memperluas sokongan di peringkat akar umbi.
“Saya menerima pelantikan ini dengan penuh tawaduk dan komitmen. Insya-ALLAH, saya akan terus berganding bahu bersama seluruh pimpinan negeri, cabang, anggota parti serta jentera akar umbi untuk memastikan PKR terus menjadi parti harapan dan pilihan rakyat Johor.
“Fokus saya adalah untuk memperkukuh kesepakatan dalam kalangan anggota serta memperluas jaringan sokongan akar umbi melalui pendekatan mendengar dan mendampingi rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu atas jasa dan sumbangan mereka dalam menerajui PKR Johor selama ini.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kepimpinan terdahulu atas segala sumbangan dan jasa dalam mengemudi parti di peringkat negeri.
“Kepada seluruh warga PKR Johor, saya mengharapkan dukungan padu daripada semua agar kita dapat membina kekuatan bersama dan memacu perjuangan ini dengan lebih ampuh dan tersusun,” katanya.
Dr Zaliha menggantikan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh yang memegang jawatan Pengerusi PKR Johor sebelum ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, PKR memenangi enam kerusi Parlimen di Johor iaitu Parlimen Sekijang (Dr Zaliha Mustafa), Segamat (R. Yuneswaran), Ledang (Syed Ibrahim Syed Noh), Johor Bahru (Akmal Nasrullah Mohd Nasir), Batu Pahat (Onn Abu Bakar) dan Tebrau (Jimmy Puah Wee Tse).
Sementara itu, di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, PKR mempunyai satu kerusi iaitu DUN Bukit Batu yang diwakili Arthur Chiong Sen Sern.