NIBONG TEBAL - Pelantikan Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang dan Goh Choon Aik sebagai timbalannya mencerminkan keyakinan penuh parti terhadap kemampuan dan kewibawaan kedua-dua pemimpin berkenaan.
Ketua Cabang PKR Nibong Tebal, Fadhlina Sidek berkata, pelantikan Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan Choon Aik yang juga Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Bukit Tambun dilihat dapat memacu PKR Pulau Pinang ke arah yang lebih tersusun dan berkesan, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, pelantikan ini diyakini mampu memperkukuhkan struktur organisasi serta gerak kerja parti di peringkat negeri.
"Cabang Nibong Tebal memberi sokongan penuh kepada barisan kepimpinan baharu MPN Pulau Pinang dan akan terus memperjuangkan agenda reformasi serta membela nasib rakyat, khususnya di kawasan Nibong Tebal dan negeri Pulau Pinang secara umum," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Fadhlina turut mengucapkan tahniah kepada semua Pengerusi dan Timbalan Pengerusi MPN yang dilantik di seluruh negara serta barisan pimpinan biro parti yang diumumkan pada hari sama.
Katanya, penyusunan semula organisasi parti ini diharap dapat menyuntik semangat baharu dan memperkukuh kesiapsiagaan jentera parti dalam mendepani cabaran politik semasa serta PRU akan datang.
Terdahulu, PKR mengumumkan senarai baharu lantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan dua biro tambahan selepas mesyuarat Biro Politik pada Khamis.