Dua menteri, tiga Supol PM dilantik Pengerusi PKR negeri baharu

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan senarai baharu lantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan dua biro tambahan selepas mesyuarat Biro Politik pada Khamis.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilantik sebagai Pengerusi MPN Kedah, manakala Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari pula terpilih sebagai timbalan pengerusi.

Beliau berkata, Dr Zaliha Mustafa yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dilantik sebagai Pengerusi MPN Johor baharu menggantikan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Keputusan itu menjadikan Ahli Parlimen Sekijang antara pemimpin wanita utama dalam hierarki negeri, dibantu Yashrudin Kusni sebagai timbalan pengerusi.

"Antara pemimpin lain dikekalkan dalam lantikan kali ini ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang terus memegang jawatan Pengerusi PKR Selangor dibantu Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah sebagai Timbalan Pengerusi PKR negeri.

"Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun juga kekal sebagai Pengerusi PKR Negeri Sembilan manakala Datuk Muhammad Nazri Kassim terus dikekalkan memegang jawatan timbalan pengerusi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar Fahmi, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tanah Merah, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor turut dikekalkan jawatan sebagai Pengerusi PKR Kelantan dan bergandingan dengan Asharun Uji.

"Di Melaka, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin akan menerajui PKR Melaka sebagai pengerusi baharu bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim sebagai timbalan," menurutnya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, antara lantikan lain menyaksikan Noor Amin Ahmad kekal mengetuai PKR Perlis, manakala Gan Ay Ling bertindak sebagai timbalan pengerusi.

Menurutnya, Mohamad Hairul Amir Sabri juga kekal sebagai Pengerusi Perak apabila terus diberi kepercayaan menerajui negeri itu bersama Tan Kar Hing sebagai timbalan.

"Bagi Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid kini memegang jawatan Pengerusi PKR negeri, manakala Timbalan Pengerusi pula dipegang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik," kata beliau lagi.

Fahmi memaklumkan, mesyuarat Biro Politik PKR turut memutuskan untuk melantik Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi sebagai Pengerusi MPN Pahang, manakala Sim Chon Siang menjawat jawatan sebagai timbalan pengerusi.

"MPN Sarawak pula menyaksikan Ahmad Nazib Johari menerajui kepimpinan sebagai Pengerusi PKR Sarawak menggantikan Roland Engan yang dilantik sebagai Naib Presiden PKR yang baharu, manakala Chiew Choon Man sebagai Timbalan Pengerusi," menurutnya.

Beliau menambah, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dan Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Peto Galim masing-masing terus memegang jawatan itu.

"Di Wilayah Persekutuan menyaksikan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dilantik sebagai pengerusi dengan beliau dibantu Ketua Cabang Putrajaya, Muhammad Fikri Abdul Aziz sebagai timbalan," katanya.

Menurut Fahmi, muka baharu ditampilkan di Terengganu dengan menampilkan Zainuddin Awang sebagai Pengerusi PKR negeri, manakala jawatan Timbalan Pengerusi pula disandang Dr Mohd Johari Mohamad.

"Selain itu, Biro Politik PKR turut memutuskan lantikan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Zin sebagai Pengarah Strategi PKR, manakala Mahmud Epah sebagai Pengerusi Biro Pendidikan," ujarnya.