Kontroversi baju batik: MP Kuala Terengganu mohon maaf kepada PM, tidak pertahankan khilaf

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kenyataannya yang mendakwa baju batik dipakai pemimpin nombor satu negara itu ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Khamis.bercorak asal Indonesia.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Ahmad Amzad mengakui kesilapannya dan telah memadamkan hantaran terdahulu yang disifatkan hanya sebagai teguran kecil selepas menerima maklum balas daripada beberapa usahawan batik termasuk pengeluar baju batik dipakai Anwar sendiri.

"Pemilik Bujins Batik menjelaskan ia keluaran mereka. Saya tidak akan pertahankan khilaf saya dan hanya sedar sebentar tadi dimaklumkan pegawai saya kerana saya dalam kenderaan sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur kembali ke Kuala Terengganu tidak mengikuti perkembangan hantaran tersebut.

"Yang itu memang salah saya dan perlu saya betulkan segera," katanya.

Terdahulu, Ahmad Amzad memuat naik satu hantaran dengan memberi nasihat kepada Perdana Menteri supaya berhati-hati memilih pakaian bersesuaian ketika pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat.

Dalam hantaran itu, beliau turut mempertikaikan tindakan Anwar memakai baju batik corak Indonesia, sedangkan pemakaian pakaian itu pada Khamis adalah untuk menonjolkan keunikan batik Malaysia sebagai warisan dan identiti bangsa sebelum bertindak memadamkan kenyataannya.

Justeru, Ahmad Amzad mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi teguran dan menjelaskan bahawa niatnya hanyalah untuk memberikan pandangan sebagai wakil rakyat yang prihatin terhadap industri batik tempatan.

"Kepada Perdana Menteri, saya minta maaf. Niat saya hanyalah memberikan pandangan kerana sebagai wakil rakyat Terengganu yang sentiasa bergaul dengan ramai pengusaha batik Malaysia, antara isu yang selalu dibangkitkan adalah tentang nasib industri Batik Malaysia.

"Pohon maaf sekali lagi. Dengan hormatnya," katanya.