SHAH ALAM - Pas menegaskan bahawa tiada ruang untuk parti tersebut bersekongkol dengan Kerajaan Perpaduan yang didakwa sedang tenggelam dalam krisis kepercayaan rakyat.
Pendirian tersebut sebagai respons terhadap kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Maszlee Malik bahawa peluang wakil Pas menjadi timbalan perdana menteri (TPM) lebih cerah jika bersama Kerajaan Perpaduan.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) pada 25 Julai lalu sudah jelas dan Pas sendiri tidak berminat dengan jawatan.
"Pas tak lapar jawatan, lebih-lebih lagi bila jawatan itu datang dari dapur yang sedang berasap.
"Dapur sendiri pun tak terurus...nak ajak Pas masuk kapal bocor, lepas tu hulur pelampung bernama TPM?
"Maaf, Pas tidak jual maruah demi jawatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dilapor berkata, Pas mempunyai ramai pemimpin yang berkebolehan untuk menjadi Perdana Menteri tetapi hanya akan menamakan calon mereka selepas berkuasa.
Susulan itu, Maszlee dilapor berkata, adalah lebih baik Pas menyertai Kerajaan Perpaduan berbanding kekal dengan PN.
Dakwanya, Pas jelas tidak percaya kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sehubungan itu, Idris mempersoalkan tindakan Maszlee yang mengeluarkan kenyataan tersebut.
"Entah mimpi waktu tidur atau memang tugas khas nak alih perhatian dari kapal yang sedang karam?
"Sedangkan, rakyat baru bagi isyarat jelas, demo Turun Anwar 27 Julai buktikan semangat rakyat bersama PN," katanya.
Dakwanya, semangat tersebut cukup untuk mencetuskan kegelisahan kepada Kerajaan Perpaduan meskipun hanya 15,000 yang didakwa hadir dan tinggalkan ‘hadiah’ 20 tan sampah.
"Jangan risau, kita terus mara, tak perlu umpan jawatan, apatah lagi umpan daripada kapal yang senget," katanya.