AMK Pulau Pinang tuntut Ahmad Fadhli mohon maaf secara terbuka

GEORGE TOWN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menggesa Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan kepimpinan negara berikutan kenyataannya yang dianggap memalukan di peringkat antarabangsa.

AMK Pulau Pinang menerusi satu kenyataan berkata, tindakan Ahmad Fadhli memuat naik status di laman Facebook dengan menyindir usaha Perdana Menteri dalam menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja disifatkan sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab.

"Tindakan beliau memilih untuk menjadi ‘badut politik’ amat mendukacitakan apabila menyamakan pemimpin Thailand dan Kemboja sebagai kambing dan biri-biri.

"Ia jelas satu penghinaan dan memperlihatkan tahap pemikiran politik yang cetek, dangkal serta berbahaya,"katanya dalam kenyataan bersama 13 Ketua AMK Cabang Pulau Pinang, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, mereka turut senada dengan kenyataan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim yang menegaskan bahawa isu tersebut bukan soal politik kepartian semata-mata tetapi menyentuh soal maruah dan nama baik negara.

Sehubungan itu, AMK Pulau Pinang menuntut dua perkara utama daripada Fadhli Shaari iaitu membuat permohonan maaf terbuka secara rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia dan kepimpinan negara.

Selain itu, Ahli Parlimen Pas itu juga perlu menyatakan komitmen untuk menghentikan sebarang kenyataan politik yang memperlekeh usaha negara di pentas antarabangsa.

"Kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk memperlekeh negara sendiri, apatah lagi apabila usaha Perdana Menteri sebagai Pengerusi ASEAN dalam mendamaikan konflik serantau telah mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa.

"Sebagai seorang Ahli Parlimen, beliau sepatutnya menunjukkan integriti dan semangat patriotisme yang tinggi demi menjaga nama baik negara. Berhentilah menjadi liabiliti kepada negara,"tegas kenyataan itu lagi.