IPOH – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak mengecam tindakan pihak berkuasa yang menahan Setiausaha Kerja sayap itu, Furqan Hakimi pada Selasa susulan penglibatannya dalam Himpunan Turun Anwar yang diadakan 26 Julai lalu.
Penahanan Furqan kira-kira jam 5 petang itu dipercayai dibuat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ketua Armada Bersatu Perak, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin menyifatkan tindakan tersebut sebagai penyalahgunaan undang-undang drakonian yang menindas suara rakyat, khususnya golongan muda yang berani menyuarakan pandangan.
“Tindakan ini jelas satu bentuk intimidasi terhadap rakyat yang bersuara, meskipun hak mereka dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Ia bukan sahaja kezaliman terhadap Saudara Furqan, tetapi juga cubaan untuk membungkam gelombang kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman dan kepincangan pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Syed Lukman Hakim berkata, Armada Bersatu Perak berdiri teguh bersama Furqan serta semua individu yang didakwa menjadi mangsa kezaliman pihak berkuasa.
Beliau turut menegaskan bahawa penahanan itu tidak akan melemahkan semangat perjuangan mereka dalam menegakkan keadilan dan menolak penindasan.
Katanya, Armada Bersatu Perak akan terus memperjuangkan kebebasan bersuara dan menolak sekeras-kerasnya penggunaan undang-undang lapuk yang bertentangan dengan semangat demokrasi.
Menurutnya, satu himpunan solidariti dijadual diadakan pada malam ini di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi oleh pemuda PN sebagai tanda sokongan terhadap penahanan Furqan.
Terdahulu, Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam hantaran di Facebooknya memaklumkan Furqan telah ditahan polis di Ipoh petang tadi dan telah dibawa ke Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur.
Pada 26 Julai lalu Himpunan Turun Anwar dianjurkan di ibu negara sebagai bentuk bantahan terhadap pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan penyertaan daripada beberapa parti pembangkang serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).