SHAH ALAM - DAP digesa mengemukakan cadangan konstruktif yang dapat membantu kerajaan merealisasikan janji-janji bagi penghapusan tol yang pernah dibuat pemimpin-pemimpin parti itu sebelum ini.
Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, ia susulan kenyataan dibuat Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Dewan Rakyat bahawa langkah memansuhkan tol bukan langkah yang mudah kerana bakal memakan kos yang terlalu besar.
Menurutnya, sekiranya gagal memberikan cadangan bagi merealisasikan janji pemansuhan tol, semua pemimpin DAP perlu membuat permohonan maaf secara terbuka.
"Pemimpin DAP yang kini memiliki 40 ahli Parlimen perlu mengakui menipu rakyat semata-mata mahu mendapatkan undi.
"Rakyat tidak boleh dipersalahkan jika mereka menuntut janji dan manifesto yang ditabur oleh pemimpin DAP.
"Selain menuntut janji, rakyat juga mengharapkan kebajikan mereka dibela, lebih-lebih lagi dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi pada ketika ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Alexander memberitahun Dewan Rakyat, kerajaan perlu mencari dana yang besar bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sekiranya penghapusan tol dilaksanakan.
Katanya, tiada keperluan untuk menghapuskan tol, sebaliknya penurunan kadar tol lebih praktikal dan realistik dibuat jika syarikat konsesi sudah mencapai keuntungan dan pulangan pelaburan.
Pada Oktober 2022, Pakatan Harapan (PH) dilapor sedia memansuhkan tol di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) jika diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Memetik laporan China Press, Pengerusi DAP ketika itu, Lim Guan Eng berkata, ketika menerajui kerajaan selama 22 bulan, PH telah berjaya mengurangkan bayaran tol sebanyak 18 peratus.
Bekas Menteri Kewangan itu juga berkata, PH boleh menghapuskan tol lebuh raya itu jika diberikan tempoh mentadbir selama lima tahun.
Dalam pada itu, Lawrence berkata, menjelang pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), kerajaan diharapkan mendengar dan mengambil kira input rakyat daripada pelbagai latar belakang sepanjang sesi libat urus dijalankan.
Ini termasuk wakil-wakil persatuan pengguna, pemain industri, komuniti peniaga khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan B40 dan M40, masyarakat luar bandar serta belia supaya dapat menggubal dasar-dasar yang lebih mesra dan fleksibel demi kepentingan negara secara keseluruhannya.
RMK13 dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat.