Rafizi antara tujuh tokoh potensi ganti Anwar - Annuar Musa

SHAH ALAM - Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli disenarai antara tujuh pemimpin politik tanah air yang berpotensi untuk mengisi jawatan Perdana Menteri ke-11 sekiranya berlaku pertukaran kepimpinan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Enam lagi yang lain ialah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, sekiranya tujuh tokoh tersebut mencapai kesepakatan, mereka berpotensi membentuk gabungan kuat yang mampu menguasai Dewan Rakyat.

"Persoalan terus timbul siapakah yang akan menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri?

"Jawapannya mudah. Sekiranya berlaku pertukaran sebelum PRu16, mana-mana ahli Parlimen sedia ada yang berjaya memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, boleh dilantik sebagai Perdana Menteri ke-11.

"Mereka antara tokoh yang sering disebut-sebut sebagai berpotensi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Pada Sabtu berlangsung Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka bagi mendesak Anwar meletakkan jawatan atas dakwaan gagal menangani kesusahan rakyat.

Susulan itu, beberapa pihak menimbulkan persoalan siapa pemimpin yang layak menjadi Perdana Menteri sekiranya Anwar perlu meletak jawatan.

Annuar menambah, sekiranya pemimpin berpotensi yang tersenarai mampu mencapai kesepakatan, landskap politik Malaysia boleh digerakkan ke hadapan dengan satu bentuk harapan baharu yang lebih segar dan inklusif.

"Tiada apa yang mustahil dalam politik," ujarnya.