AMPANG – Keadilan Ampang mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang didakwa melakukan penghinaan terhadap Perdana Menteri menerusi satu hantaran di media sosial.
Ketua Cabangnya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata, tindakan tersebut adalah biadab dan berunsur penghinaan serta tidak wajar disiarkan secara terbuka, apatah lagi mendapat perhatian meluas dalam kalangan pengguna media sosial.
Dalam satu hantaran di laman Facebook yang kemudiannya dipadam, Ahmad Fadhli dilihat menggunakan analogi sinis dengan melukis karikatur menyamakan dua negara sebagai kambing dan biri-biri.
"Lebih memalukan, beliau turut menyamakan Perdana Menteri Malaysia yang memainkan peranan sebagai pendamai dengan seekor monyet. Gambaran ini membawa mesej bahawa 'seekor monyet tidak layak menjadi pendamai antara kambing dan biri-biri'," katanya.
Menurut Altimet, gambaran tersebut secara terang-terangan memperlekeh dan menghina peranan Perdana Menteri sebagai pemimpin tertinggi negara serta wakil sah Malaysia dalam usaha diplomasi antarabangsa, khususnya dalam konteks konflik dan hubungan serantau.
Beliau berkata, kenyataan seumpama itu bukan sahaja tidak beretika dan tidak bertanggungjawab, malah berpotensi mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa serta menghasut rakyat untuk mempersendakan institusi Perdana Menteri dan kedudukan diplomatik negara.
"Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat bagi mempertahankan maruah negara dan institusi Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan yang sah," ujarnya.
Tambah beliau, Keadilan Ampang menegaskan bahawa budaya politik negara mesti kekal matang, beradab dan berpaksikan prinsip Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.