SHAH ALAM – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempersoal penahanan Setiausaha Kerja Armada Bersatu Perak, Furqan Hakimi susulan penglibatannya dalam Himpunan Turun Anwar baru-baru ini.
Menurutnya, pemimpin muda terbabit ditahan polis di Ipoh, Perak pada petang Selasa sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak turut meluahkan rasa hairan terhadap penggunaan Akta Hasutan dalam kes berkenaan, sekali gus menyifatkan tindakan tersebut sebagai bercanggah dengan pendirian pernah dikeluarkan pemimpin parti politik tertentu.
"Setiausaha Kerja Armada Bersatu Perak telah ditahan polis di Ipoh petang tadi dan telah dibawa ke Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur. Apa sebabnya? Ditahan dibawah Akta Hasutan.
"Bukankah pimpinan negara dan konco-konconya dalam DAP mahu hapuskan Akta Hasutan ini? Apa sudah jadi? Cakap lain, buat lain," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum itu, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Perak mengecam tindakan pihak berkuasa yang menahan Furqan.
Penahanan pemimpin muda kira-kira jam 5 petang Selasa itu dipercayai dibuat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ketua Armada Bersatu Perak, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin menyifatkan tindakan tersebut sebagai penyalahgunaan undang-undang drakonian yang menindas suara rakyat, khususnya golongan muda yang berani menyuarakan pandangan.
Pada 26 Julai lalu Himpunan Turun Anwar dianjurkan di ibu negara sebagai bentuk bantahan terhadap pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan penyertaan daripada beberapa parti pembangkang serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).