Rujuk Ahmad Fadhli ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen - Amanah Perak

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menggesa supaya kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana tindakannya yang menyamakan pemimpin negara dengan haiwan disifatkan sebagai memperlekeh dan menghina negara sendiri.

Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh wakil rakyat Pas itu sebagai tidak bertanggungjawab dan berpotensi mencemarkan imej Malaysia di mata dunia.

Menurut beliau, biarpun perbezaan pandangan politik adalah lumrah, namun ia bukan alasan untuk mana-mana wakil rakyat bertindak menghina negara yang diwakili.

"Seorang ahli Parlimen seharusnya menjunjung sumpah taat setia dan menjaga maruah negara, bukannya menyebar persepsi negatif hanya kerana berbeza fahaman politik.

"Walaupun kenyataan itu dibuat di luar Dewan Rakyat, ia tetap memberi implikasi besar kerana dibuat oleh individu yang sedang memegang amanah sebagai wakil rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Asmuni berkata, tindakan Ahmad Fadhli itu bukan sahaja mencalarkan kewibawaan institusi Parlimen, malah mencetuskan persepsi buruk terhadap imej negara di peringkat antarabangsa.

Justeru, beliau mencadangkan agar kenyataan tersebut dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk disiasat serta diambil tindakan sewajarnya.

"Jika perlu, tindakan penggantungan boleh dipertimbangkan sebagai satu isyarat jelas bahawa Parlimen Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang menjatuhkan maruah negara.

"Kita tidak mahu budaya politik kebencian menjadi norma dalam negara ini sehingga sanggup mengorbankan kehormatan negara sendiri," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua ahli Parlimen kerajaan agar mempertimbangkan dengan serius cadangan merujuk perkara ini ke peringkat Jawatankuasa berkenaan demi menjaga integriti institusi Parlimen.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas Pusat itu memuat naik gambaran tiga watak haiwan iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang sementara monyet sebagai hakim di media sosialnya.