'Fadhli Shaari hina kedaulatan, peranan diplomasi Malaysia' - Mahfuz

SHAH ALAM- Tindakan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menggunakan perumpaan seperti kambing dan biri-biri yang berebut pisang dalam konflik negara jiran, Thailand dan Kemboja disifatkan sebagai sangat dangkal dan menghina.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, lebih mengecewakan apabila Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyamakan Malaysia sebagai ‘monyet’ dalam konflik serantau bukan saja memperlekehkan kedaulatan negara, malah menghina peranan diplomasi Malaysia yang diiktiraf dunia.

Sedangkan katanya, Malaysia amat dihormati di peringkat ASEAN dan dunia kerana komitmen terhadap diplomasi damai, bukan bersikap suka campur tangan secara semberono seperti didakwa.

“Perumpamaan ini membongkar wajah sebenar Pas dengan politik benci yang tidak tahu membezakan lawan politik dan martabat negara.

"Apakah kebencian terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah sampai ke tahap sanggup hina negara sendiri?

“Malaysia adalah ahli pengasas ASEAN, memainkan peranan penting dalam menyelesaikan krisis Myanmar, Laut China Selatan dan pelarian Rohingya.

“Apakah Fadhli lupa sejarah diplomatik negaranya sendiri? Kalau beliau bijak, dia tahu ‘pisang’ sebenar adalah kuasa dan pengaruh yang Pas dambakan, walaupun terpaksa bersekongkol dengan ‘harimau’ politik dengan menunggang agama,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Mas itu memuat naik gambaran tiga watak binatang iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang sementara monyet sebagai hakim di media sosialnya.

Dalam hantaran tersebut, beliau menyatakan bahawa kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang, serta turut meletakkan artikel berhubung pergolakan Thailand-Kemboja di sebelah gambar berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Malaysia merakamkan kejayaan besar dalam usaha diplomatik serantau apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memainkan peranan utama sebagai perantara dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang berlangsung di Kuala Lumpur.

**media[3218434]**

Menurutnya, rundingan yang dimulakan sejak awal Mei lalu mencapai kejayaan signifikan apabila kedua-dua negara bersetuju menamatkan ketegangan di kawasan sempadan yang telah berlarutan selama beberapa bulan.

“Persetujuan ini turut membuka laluan kepada kerjasama keselamatan dan ekonomi rentas sempadan yang lebih kukuh.

“Peranan aktif Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disegani sebagai negarawan berpengalaman dan pendokong dialog damai ASEAN, diiktiraf oleh kedua-dua delegasi. Beliau mengutamakan pendekatan hikmah, diplomasi berprinsip dan kesediaan Malaysia menjadi ‘ruang neutral’ untuk rundingan sulit serta terbuka.

“Malaysia nyata sekali telah memainkan peranan yang lebih mendasar dalam konflik Thailand-Kemboja melalui hubungan budaya dan cara ASEAN yang mendambakan rantau ASEAN sebagai contoh unggul hidup aman dalam kepelbagaian yang merupakan mercu identiti ASEAN,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambah Mujahid, beliau percaya kestabilan serantau adalah tanggungjawab bersama dan Malaysia komited menjadi jambatan perdamaian dan bukan penghasut permusuhan.

Jelasnya, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah menunjukkan contoh dan teladan kepimpinan serantau yang proaktif dan progresif sehingga membolehkan rundingan diplomatik yang mencapai dalam gencatan senjata ini mencapai kejayaan.

“Kita berharap dan sentiasa mendoakan semangat perdamaian ini akan terus mekar dalam kalangan negara-negara ASEAN demi kestabilan, kemakmuran dan keharmonian rantau ini,” jelasnya.