'Undang kebencian rakyat, gugat kestabilan negara'

PASIR PUTEH - Tindakan peserta Himpunan Turun Anwar yang menyebat patung mirip Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat boleh mengundang bibit kebencian kepada pemimpin nombor satu negara itu selain mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat.

Ketua Cabang PKR Pasir Puteh, Kamaruddin Mat Zin berkata, perbuatan tersebut jelas merupakan satu bentuk hasutan yang boleh menggugat kestabilan politik negara.

"Tindakan ini jelas satu bentuk penghinaan dan cubaan mencetuskan kebencian rakyat terhadap Perdana Menteri serta boleh mencabar prinsip serta kestabilan politik negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini pada Selasa.

Beliau bersama kira-kira 70 orang ahli serta kepimpinan PKR, UMNO dan Amanah Pasir Puteh hadir bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat.

Menurut Kamaruddin, tindakan pantas pihak polis dalam menangani isu itu amat penting bagi memastikan tidak timbul provokasi berlebihan yang boleh menggugat keharmonian negara.

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Mohamed Jan dalam sidang akhbar memaklumkan, polis menerima empat laporan berkaitan Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka yang berlangsung pada Sabtu.

Satu kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berkenaan patung mirip Perdana Menteri disebat di sekitar Masjid Negara.