'25 tahun perjuangan, kini masanya bermuhasabah diri' - Hassan Karim

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyeru agar pimpinan kerajaan pada masa kini bermuhasabah dan merendah diri susulan perhimpunan besar-besaran rakyat yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Dalam sajak bertajuk 'Kupohon Maaf kepada Rakyat', beliau mengakui bahawa perjuangan selama 25 tahun untuk membentuk kerajaan tidak seharusnya menyebabkan mereka melupakan asal-usul serta ikrar murni yang pernah dilafaz ketika berada di pihak pembangkang.

"Kupohon maaf kepada rakyat, dari mercu Parlimen ini. Dua puluh lima tahun, kita berusaha menjadi kerajaan. Kita turun ke jalan raya berkali-kali. Kita impikan pemimpin kita jadi Perdana Menteri," tulisnya dalam sajak berkenaan.

Hassan turut menyentuh mengenai perhimpunan pada Sabtu yang menurutnya menunjukkan kemarahan rakyat.

"Tetapi semalam, dua puluh lima ribu massa berhimpun. Kita menjadi sasaran kemarahan rakyat jelata. Perdana Menteri kita disuruh turun. Ada hikmah di sebalik ini semua," katanya.

Dalam bait-bait seterusnya, beliau menekankan keperluan untuk pemimpin merendah diri dan kembali menginsafi semangat asal perjuangan.

"Kita tidak selalunya betul. Janji kita ditagih. Mungkin ada yang kita mungkiri selama ini. Jika tidak, takkan rakyat menjerit berulang kali. Mereka telah dikhianati.

Jadi eloklah kita merendah hati. Marilah kita bermuhasabah diri."

Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan hari ini mungkin tidak seburuk yang disangka, namun juga tidak cukup baik untuk berbangga diri.

"Kita tidaklah terlalu buruk. Tetapi kita juga tidaklah baik sangat. Masih ada masa untuk meluruskan yang bengkang-bengkok. Kembalilah kita ke jalan yang benar, jika kita masih mencari kemenangan."

Sajak itu diakhiri dengan seruan agar para pemimpin kembali kepada nilai ikhlas dan kejujuran seperti ketika mereka belum memiliki kuasa, menyampaikan pesanan yang tajam namun penuh keinsafan.

"Rakyat tidak pernah silap. Yang mudah lupa, kita yang elit dan sekarang jadi sang penguasa."

Dalam Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu, polis memaklumkan bahawa seramai kira-kira 18,000 orang telah menghadiri himpunan aman tersebut.