SHAH ALAM – Himpunan Turun Anwar dibimbangi mempunyai kaitan dengan agenda Barat untuk memburukkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di persada antarabangsa.
Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan, Amidi Abdul Manan berkata, perhimpunan itu disifatkan mencurigakan berdasarkan garis masa penganjurannya yang bertepatan dengan pelbagai konflik di seluruh dunia terutamanya isu penjajahan rakyat Palestin.
Menurutnya, motif penganjuran himpunan berkenaan juga dilihat serba tidak kena jika dinilai hanya dari sudut domestik, malah beliau tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan faktor desakan dari kuasa Barat.
“Memang ada yang bingung kenapa Anwar mesti diturunkan. Ini terbukti apabila para peserta tidak pasti siapakah yang layak menggantikan Anwar.
“Ada yang tersalah sebut nama pemimpin utama Pas yang kononnya layak memimpin negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau berkata, para ulama turut menegaskan bahawa kestabilan politik negara perlu dipertahankan dan secara terbuka menyatakan sokongan kepada Anwar untuk terus memimpin bagi penggal ini.
Ujarnya, rakyat semakin keliru apabila Anwar mengumumkan penurunan harga petrol RON95 yang sememangnya sudah antara yang termurah di dunia, selain pemberian bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas yang terus menimbulkan persoalan mengapa beliau perlu diturunkan.
Amidi berkata, jika diteliti secara lebih luas, pelbagai faktor global mungkin menjadi penyebab utama desakan terhadap kepimpinan Anwar.
“Politik dunia mula mendung dengan kemenangan kali kedua Trump sebagai Presiden Amerika.
“Trump memperkenalkan ‘Reciprocal Tariff’ yang menggoncang ekonomi dunia dan Malaysia di bawah Anwar berusaha mempertahankan kedaulatan negara daripada perang ekonomi,” katanya.
Menurut Amidi, kecaman terbuka Anwar terhadap Israel mengundang reaksi tidak senang daripada Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.
“Keberanian Anwar menonjolkan diri sebagai pemimpin Islam yang memperjuangkan Palestin tanpa memilih pentas turut menarik perhatian dunia.
“Strategi Anwar yang mengimbangi hubungan dengan Rusia dan China menimbulkan kewaspadaan AS. Penerimaan Anwar di pelbagai belahan dunia mencetuskan kebimbangan kuasa veto terhadap perubahan sokongan terhadap Palestin.
“Pada mereka, kemaraan Anwar mesti dilemahkan. Persepsi bahawa beliau disokong rakyat mesti dirosakkan. Maka inilah yang berlaku pada 26 Julai lalu menerusi laporan media Barat yang memburukkan nama Anwar,” katanya.
Beliau turut memetik laporan Reuters, Channel News Asia dan Bloomberg yang didakwa memberikan gambaran negatif terhadap Anwar, termasuk kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Anwar bukan pilihan rakyat.
Tambah Amidi, laporan media Barat itu jelas menunjukkan terdapat kemungkinan agenda kuasa-kuasa asing yang bertujuan untuk merosakkan imej Anwar di pentas antarabangsa.