SEREMBAN - Malaysia berada pada landasan tepat di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tohmahan dilemparkan oleh pembangkang di Himpunan Turun Anwar pada Sabtu disifatkan sebagai tuduhan tidak berasas.
Ketua Cabang Parti Keadilan (PKR) Rembau, Dr Jufitri Joha berkata, himpunan tersebut merupakan sebahagian daripada hak demokrasi, namun perkara yang dibangkitkan perlu berdasarkan fakta yang benar dan sahih.
Menurutnya, Sekretariat Bela Pertiwi, rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO) serta ketua cabang PKR seluruh Negeri Sembilan tampil untuk memberikan respons terhadap tuduhan yang dibangkitkan pembangkang dalam demonstrasi yang berlangsung di ibu negara itu
“Kami tampil dengan memorandum bagi menjawab sembilan persoalan utama yang dibangkitkan.
"Antara kejayaan besar kerajaan PMX ialah menstabilkan pentadbiran negara yang menjadi asas penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial.
"Malaysia juga telah melonjak 11 anak tangga dalam Global Competitiveness Index, bukti bahawa dasar-dasar semasa memberi kesan positif kepada imej dan prestasi negara," katanya selepas menyerahkan memorandum kepada pembangkang di Pejabat Perikatan Nasional Negeri Sembilan di Nilai pada Sabtu.
Penyerahan tersebut disertai lebih 30 penyokong Anwar.
Selain itu katanya, pelbagai reformasi lain telah dilakukan di bawah pentadbiran Anwar termasuk pindaan terhadap Akta Parlimen iaitu membebaskan Parlimen daripada pengaruh eksekutif.
Mengenai isu kos sara hidup, beliau berkata, rakyat telah menikmati kesan daripada dasar rasionalisasi bil elektrik dan kawalan harga barang asas.
“Kadar tarif elektrik menurun dan bekalan asas seperti ayam dan telur kekal stabil, malah sepanjang dua musim perayaan lalu, harga barangan terkawal.
“Cukai SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) pula bukan menindas, tetapi menyusun semula sistem percukaian supaya golongan berkemampuan menyumbang lebih, sementara rakyat biasa tidak terkesan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan mengenai pemansuhan isu pinjaman PTPTN bahawa ia merupakan janji dalam manifesto PRU lalu dan bukan janji baharu, malah turut pernah dijanjikan oleh Pas tetapi tidak ditunaikan.
“Selain itu, kerajaan juga tidak menghapuskan subsidi, tidak menyekat kebebasan bersuara dan tiada sebarang skandal besar berlaku setakat ini.
"Malah, demonstrasi diadakan pada Sabtu dipermudahkan mengikut peruntukan undang-undang.
"Kerajaan juga tidak memperlekehkan pelantikan hakim. Tiada krisis Perlembagaan berlaku.
"Penangguhan hanya bagi menghormati proses dan perkenan Institusi Diraja agar pelantikan dibuat secara tertib,” jelasnya.
Selain itu katanya, isu Ambalat yang dibangkitkan juga sedang diselesaikan secara diplomatik antara Malaysia dan Indonesia, dua negara serumpun.
"Islam tidak diperlekeh malah banyak ulama dunia hadir ke Malaysia bahkan semakin ramai ulama besar datang ke Malaysia.
"Mengenai dakwaan berkaitan isu adendum, kerajaan kekal menghormati institusi diraja dan tidak mempersendakan sistem Raja Berperlembagaan," katanya.
Tegas beliau, kerajaan pada masa ini berada dalam landasan terbaik dan memohon rakyat untuk terus menyokong kepimpinan Anwar.
"Kita mohon rakyat terus kekal menyokong beliau, Malaysia berada di landasan betul tidak mustahil kita akan menjadi antara 10 negara mempunyai ekonomi terbaik dunia," katanya.
Pada Sabtu berlangsung Himpunan Turun Anwar anjuran pembangkang yang mula memenuhi kawasan pekarangan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman seawal jam 7 pagi.
Kebanyakan peserta mengenakan pakaian serba hitam yang tertera perkataan ‘Turun Anwar’ serta memakai lilitan kain putih di kepala sebagai simbol solidariti.