'Pas hidup dalam dunia mimpi jika kata Pahang tak fokus' - Asyraf Wajdi

KUANTAN – UMNO menempelak dakwaan pembangkang khususnya Pas Pahang yang menuduh kerajaan negeri tidak fokus dalam urusan pentadbiran negeri ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, prestasi pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terbukti cemerlang dan mengutamakan kebajikan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Apa yang tidak fokus? Saya rasa beliau (Wan Rosdy) antara Menteri Besar yang paling terkedepan dalam memastikan kesejahteraan rakyat Pahang terus terpelihara.

“Kita dapat lihat pelbagai inisiatif baharu diperkenalkan oleh kerajaan negeri, dan bukan untuk satu kaum atau golongan tertentu sahaja tetapi untuk semua rakyat Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan bahawa kerajaan UMNO hilang fokus dan kenyataan Pas–Perikatan Nasional (PN) sedia mengambil alih pentadbiran sebagaimana kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini.

Asyraf Wajdi yang ditemui selepas hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Indera Mahkota di sini pada Ahad berkata, hasil kepimpinan berkesan kerajaan negeri, Pahang kini mencatatkan antara prestasi perolehan terbaik dalam negara.

“Kalau ada yang kata kerajaan negeri tak fokus, saya kira mereka mungkin hidup dalam dunia mimpi dalam mimpi,” ujarnya sinis.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka sebelum ini mendakwa situasi politik semasa di Pahang menunjukkan perbezaan dalam gabungan parti kerajaan, khususnya antara UMNO dan DAP dari segi dasar, pendekatan dan keutamaan pentadbiran negeri.

Menurutnya, keadaan itu sama seperti yang sedang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan dan perbezaan tersebut menjejaskan hala tuju pentadbiran negeri secara menyeluruh serta akibatnya ditanggung oleh rakyat Pahang.

Justeru katanya, Pas dan PN Pahang bersedia tampil sebagai alternatif pentadbiran negeri yang lebih tersusun, inklusif dan berprinsip.

Melalui inisiatif Teraju Pahang, parti gabungan itu komited membawa gelombang perubahan dalam politik negeri dengan menawarkan kepimpinan yang berintegriti, bebas daripada penyalahgunaan kuasa dan berkeupayaan melaksanakan pentadbiran yang efisien.