KUANTAN – UMNO perlu kembali kepada akar perjuangan dengan mendekati semula denyut nadi rakyat serta bermuhasabah atas segala kekhilafan lalu sebagai pengajaran untuk bangkit dengan lebih kuat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengalaman lalu harus dijadikan pedoman sekali gus menyedarkan parti bahawa rakyat sebenarnya menilai pencapaian dan sumbangan UMNO sepanjang menerajui pentadbiran negara.
“Kita perlu kembali kepada rakyat dan bermuhasabah terhadap perkara-perkara yang berlaku sebelum ini.
"Mungkin apa yang berlaku itu adalah satu peringatan bahawa rakyat masih melihat dan menilai pencapaian yang telah UMNO laksanakan ketika menjadi kerajaan,” katanya.
**media[3216239]**
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Indera Mahkota di sini pada Ahad.
Asyraf Wajdi berkata, sepanjang mentadbir negara, UMNO tidak pernah meminggirkan mana-mana pihak, malah membawa negara kepada asas kestabilan yang tinggi berteraskan nilai toleransi dan saling menghormati antara kaum dan agama.
“Asas ini perlu difahami oleh UMNO hari ini bahawa untuk bergerak ke hadapan, kita tidak boleh memainkan sentimen perkauman dan keagamaan sempit sehingga seolah-olah mahu mewujudkan kerajaan Melayu semata-mata.
“Ini adalah Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Perkara ini sudah dibina sejak awal lagi oleh pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu termasuk ketika menghadapi peristiwa hitam seperti tragedi 13 Mei,” ujarnya.
Tambah beliau, untuk terus mara ke hadapan, UMNO perlu mengakui bahawa tonggak negara seperti kedudukan Islam, Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu harus dipertahankan dalam konteks masyarakat majmuk.
“Kita tidak boleh memisahkan diri daripada realiti kemajmukan yang menjadi asas kestabilan negara kita,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembentukan kerajaan perpaduan hari ini adalah hasil titah Yang di-Pertuan Agong yang mengambil kira perlunya satu pentadbiran inklusif tanpa menjejaskan tunjang-tunjang utama negara.
“Tunjangnya tetap tidak boleh diusik, iaitu kedudukan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu, namun pada masa sama, kita harus menjunjung prinsip kesaksamaan kepada semua kaum dan agama.
“Sebab itulah kerajaan perpaduan ini terdiri daripada 18 parti yang mewakili pelbagai latar belakang — Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun serta pelbagai etnik Sabah dan Sarawak,” jelasnya.
Dr Asyraf turut membandingkan Kerajaan Perpaduan dengan pembangkang ketika ini yang menurutnya hanya tertumpu kepada satu orientasi kaum sahaja sehingga menyukarkan kestabilan negara dibentuk dalam jangka masa panjang.