KOTA KINABALU – [DIKEMAS KINI] Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan meneruskan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Menurut beliau, kerjasama tersebut telah dipersetujui oleh semua parti komponen dalam GRS menerusi perbincangan yang diadakan sebelum ini.
“Setuju, (komponen GRS). Kita akan teruskan kerjasama antara GRS dan PH seperti yang sedia ada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.
Ketika ditanya lanjut mengenai perbincangan dengan parti-parti komponen dalam GRS, Hajiji mengesahkan bahawa rundingan telah pun dijalankan antara semua pihak dalam gabungan berkenaan.
Berhubung pembahagian kerusi antara GRS dan PH, beliau memaklumkan bahawa perbincangan telah diadakan dan formula asas telah pun dibentuk.
“Sudah tentu, tapi belum dimuktamadkan. Hanya beberapa perkara kecil yang perlu dimuktamadkan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Mustapha Sakmud menyifatkan kerjasama tersebut sebagai perkembangan positif bukan sahaja kepada kedua-dua gabungan, malah kepada seluruh rakyat Sabah.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS kerana terus menjunjung semangat kerjasama antara GRS dan PH. Sebagai pemimpin PH, saya amat mengalu-alukan kerjasama ini.
“Saya percaya ini merupakan berita baik untuk Sabah dan rakyatnya,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai rundingan pembahagian kerusi antara PH dan GRS, Mustapha berkata, perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Perkara ini akan dibincangkan bersama GRS, khususnya dengan Gagasan Rakyat. Kita akan duduk semeja dan berbincang dengan mereka.
“Langkah seterusnya adalah untuk menyelaraskan rundingan pembahagian kerusi dan kita berharap semuanya dapat diputuskan secara baik dan adil,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai jumlah kerusi yang dihasratkan oleh PH untuk ditandingi, Mustapha memaklumkan bahawa perbincangan masih terbuka, namun tidak menolak jumlahnya adalah berdasarkan senarai awal yang pernah dibincangkan sebelum ini.
“Jumlah kerusi yang diminta adalah berdasarkan senarai hasrat yang telah dinyatakan sebelum ini, iaitu sekitar 23 hingga 25 kerusi. Namun, ia tetap bergantung kepada hasil rundingan bersama GRS,” katanya.