SHAH ALAM – Himpunan Turun Anwar bukan suatu ancaman kepada kerajaan, sebaliknya menjadi lambang perubahan budaya politik yang dahulunya pernah dibelenggu pemerintahan kuku besi.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli berkata, di era pentadbiran Madani, pembangkang dan penyokong dibenarkan berhimpun secara aman di ibu negara tanpa gangguan mahupun kekerasan pihak berkuasa.
Menurutnya, perkara itu bukan satu kelemahan pentadbiran, sebaliknya manifestasi kekuatan demokrasi yang sebenar.
“Malaysia pernah melalui zaman di mana suara dibungkam, perhimpunan dibedil dan perbezaan pendapat dijenayahkan.
“Namun kini, keadaan berbeza kerana Kerajaan Madani telah menzahirkan ruang demokrasi yang bukan hanya dilaungkan, tetapi benar-benar dirasai.
“Hak untuk berhimpun dan bersuara menjadi satu norma yang dihormati dan dilindungi. Perbezaan pandangan harus diraikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Adam Adli, kerajaan telah membuktikan kemampuannya dalam memelihara ruang demokrasi yang sihat.
“Dalam demokrasi, suara yang menyokong mahupun menentang, kedua-duanya penting dan wajar dilindungi. Kita sedang membina sebuah negara yang lebih terbuka, matang dan adil. Inilah semangat Madani.
“Persoalannya, mampukah pembangkang melakukan perkara yang sama? Mahukah pembangkang mendidik penyokongnya menjadi adil dan celik, di samping mendisiplinkan wakil rakyatnya di Parlimen dengan hujah yang lebih baik?” ujarnya.
Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menghargai profesionalisme pasukan keselamatan yang bertugas tanpa membawa peralatan rusuhan, menggambarkan kematangan institusi negara dalam mengurus demokrasi.
"Kehadiran mereka tanpa gas pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan mencerminkan kematangan institusi negara.
“Kita mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara. Cita-cita Madani bukan sahaja menjamin hak sivil, tetapi juga hak kehidupan rakyat," katanya.
Beliau berkata, di pentas dunia, kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan berjaya mengangkat semula imej Malaysia sebagai sebuah kuasa ekonomi yang stabil dan diyakini negara luar pascapandemik.
“Peranan kita kembali diiktiraf, suara kita kembali didengari. Ini mungkin meresahkan pembangkang, ketika kerajaan sibuk memulihkan negara, pembangkang pula ketandusan hala tuju,” katanya.