Demonstrasi ‘Turun Anwar’ gagal tarik sokongan – AMK Klang

KLANG – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Klang menyifatkan kegagalan demonstrasi ‘Turun Anwar’ anjuran pembangkang sebagai bukti jelas rakyat masih meletakkan kepercayaan teguh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua AMK Klang, Mohamad Shahrul Adnan berkata, perhimpunan yang disasarkan untuk mengumpulkan 500,000 peserta itu hanya dihadiri sekitar 18,000 orang, berdasarkan angka rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, jumlah kehadiran yang jauh tersasar itu membuktikan bahawa rakyat tidak lagi termakan dengan retorik politik kebencian dan fitnah yang dimainkan oleh pembangkang.

“Demonstrasi hambar ini hanyalah gimik politik lapuk yang langsung tidak berakar kepada realiti semasa. Rakyat sudah bijak menilai. Mereka mahukan hasil, bukan retorik. Mereka nilai dasar, bukan drama,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, sekiranya benar pihak pembangkang mempunyai hasrat untuk menukar Perdana Menteri, tindakan itu seharusnya dilakukan melalui saluran perlembagaan dan bukannya menjadikan jalanan sebagai medan politik.

“Bawalah usul undi tidak percaya di Parlimen, buktikan bahawa anda memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Jangan jadikan demonstrasi sebagai cubaan menutup kelemahan sendiri,” tambahnya.

Shahrul berkata, rakyat menyaksikan pencapaian yang dicetuskan di bawah kepimpinan Anwar termasuk kejayaan mencatat pelaburan asing tertinggi, mengurus ekonomi negara secara bertanggungjawab serta memulihkan keyakinan pelabur dan pasaran antarabangsa.

Ujarnya, kestabilan politik juga berjaya dikekalkan meskipun negara sebelum ini berdepan ketidaktentuan akibat perebutan kuasa yang tidak bermoral.

“Datuk Seri Anwar telah memperjuangkan agenda reformasi selama berdekad, dan dalam tempoh singkat sebagai Perdana Menteri, beliau berjaya mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, AMK Klang menegaskan komitmen untuk terus berdiri teguh menyokong Kerajaan Perpaduan dan Anwar dalam membina masa depan negara yang lebih progresif, adil dan inklusif.

Beliau turut menggesa pembangkang agar berhenti menggunakan pendekatan politik lapuk serta memberi tumpuan kepada peranan sebagai pembangkang yang konstruktif.

“Berhentilah menabur fitnah semata-mata untuk kekal relevan dalam lanskap politik tanah air,” katanya.