SHAH ALAM – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Roland Engan dilantik sebagai Naib Presiden PKR yang baharu.
Perkara itu disahkan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil menerusi satu kenyataan rasmi selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diadakan di Petaling Jaya pada Sabtu.
Turut diumumkan dalam pelantikan tersebut, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Pengelola PKR.
Selain itu, Dr Fuziah Salleh dilantik kekal sebagai Setiausaha Agung PKR, manakala Ahli Parlimen Selayang, William Leong kekal sebagai Bendahari Agung parti.
Dalam kenyataan sama, Fahmi turut memaklumkan beberapa pelantikan lain bagi mengisi jawatan utama dan strategik dalam struktur kepimpinan parti itu bagi penggal 2025, antaranya Timbalan Setiausaha Agung, Saifuddin Shafi Muhammad, Aidi Amin Yazid, Bryan Ng Yih Miin, dan Sivamalar Genapathy
Manakala untuk jawatan Timbalan Bendahari Agung, Hee Loy Sian dan Timbalan Ketua Penerangan, Siti Aishah Shaik Ismail dan untuk jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Pengelola, Muhammad Syaril Showkat Ali
PKR turut menyenaraikan beberapa tokoh sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), antaranya Romli Ishak, Manolan Mohamad, Awang Husaini Sahari, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin, Dr Mohd Afandi Salleh, Nor Azman Mohamad dan Yuneswaran Ramaraj.
Sementara itu, pelantikan bagi jawatan pengarah-pengarah biro turut diumumkan seperti berikut, Pengarah Biro Ekonomi, Akmal Nasir; Pengarah Biro Sukarelawan, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengarah Komunikasi, Adam Adli Abd Halim; Pengarah Biro Antarabangsa, Dr Maszlee Malik; Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, Amidi Abdul Manan; Pengarah Biro Latihan dan Akademi Keadilan, Aminuddin Harun
Dalam masa sama, PKR turut mengumumkan pelantikan tokoh-tokoh utama dalam struktur penasihat dan jawatankuasa tetap parti, Pengerusi Majlis Penasihat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat, Dr Zaliha Mustafa
Pengerusi Lembaga Disiplin, Zainol Samah; Pengerusi Biro Kebajikan, Rodziah Ismail; Pengerusi Biro Guaman, Sivarasa Rasiah dan Pengerusi Biro OKU, Isaiah D. Jacob.
Selain itu, Majlis Pimpinan Pusat PKR telah mengadakan mesyuarat pada hari ini, di mana Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan pandangan beliau serta menjelaskan beberapa perkara berkait isu semasa termasuk proses pelantikan hakim serta isu rantau Asia Tenggara khusus berkait konflik di antara Thailand dan Kemboja.