KUALA LUMPUR – Danish Hairudin telah dilantik sebagai Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia bagi penggal 2025–2028, menggantikan Nabil Halimi yang kini memegang jawatan Naib Ketua AMK Malaysia.
Pelantikan tersebut disambut dengan penuh rasa tanggungjawab oleh Danish yang turut merakamkan penghargaan kepada Ketua AMK Malaysia, Kamil Munim, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, atas kepercayaan dan amanah yang diberikan.
“Saya dengan segala upaya akan memberi komitmen penuh dalam melaksanakan amanah ini, apatah lagi ketika parti sedang mempersiapkan jentera menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya.
Menurut beliau, jawatan yang digalas bukan sekadar satu penghormatan, tetapi hadir bersama cabaran besar dalam memastikan AMK terus menjadi sayap parti yang disegani oleh rakan dan lawan.
Berbekalkan pengalaman sebagai Timbalan Pengarah Komunikasi Keadilan Pusat pada penggal lalu serta sokongan padu daripada barisan Exco AMK Malaysia, Danish yakin pasukannya mampu menjadi benteng utama menangkis tohmahan serta politik sempit yang dimainkan pembangkang.
“Insya-ALLAH, AMK akan menjadi jurubicara rakyat paling responsif dalam menyampaikan setiap inisiatif Kerajaan Madani secara tuntas dan berfakta,” ujarnya lagi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada mantan Ketua Penerangan AMK, Nabil Halimi, atas sumbangan yang telah dilakar sebelum ini, dan berikrar untuk membawa nilai tambah yang lebih segar serta relevan dengan landskap politik semasa.
“Membujur lalu, melintang patah,” tegas Danish.