UMNO Sembrong mahu Hishammuddin kembali, Onn Hafiz akan bawa usul ke pucuk pimpinan

KLUANG - UMNO Bahagian Sembrong menyatakan hasrat agar bekas Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diterima semula dalam kepimpinan parti.

Perkara tersebut disuarakan secara terbuka dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong pada Sabtu dalam suasana yang cukup sayu, sekali gus menunjukkan penghormatan yang masih tinggi terhadap bekas Naib Presiden UMNO itu.

Pengerusi UMNO Johor merangkap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, tidak dapat menyembunyikan rasa sebak ketika memulakan ucapan perasmian apabila mengenangkan peranan besar Hishammuddin yang dianggap sebagai ‘sifu’ dalam permulaan karier politiknya.

“Sembrong ini bukan sekadar kawasan politik, ia tempat saya mula belajar dan mengenal erti perjuangan. Orang yang membawa saya ke sini ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat tersebut di Rumah Komuniti UMNO Sembrong.

Walaupun Hishammuddin tidak hadir dalam majlis itu, Onn Hafiz memaklumkan bahawa usul berkenaan mencerminkan penghargaan akar umbi terhadap jasa serta kepimpinan beliau.

**media[3173583]**

“Saya dimaklumkan ada usul supaya pucuk pimpinan UMNO mempertimbangkan semula untuk menerima beliau kembali di peringkat UMNO Bahagian Sembrong.

“Insya-ALLAH, sebagai Pengerusi UMNO Johor, saya akan bawa usul ini ke peringkat tertinggi,” katanya.

Untuk rekod, Hishammuddin digantung keahlian selama enam tahun bermula 27 Januari 2023, bersamaan dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Surat penggantungan itu ditandatangani oleh Datuk Seri Ahmad Maslan selaku Setiausaha Agung UMNO ketika itu.

Selain beliau, beberapa pemimpin lain turut dikenakan tindakan termasuk bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Namun, pada 11 Disember lalu, Hishammuddin menegaskan tidak akan mengemukakan sebarang rayuan bagi membatalkan penggantungan tersebut kerana sehingga kini beliau belum diberikan sebab yang jelas berhubung tindakan itu.

Ia susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan bahawa penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selama enam tahun telah ditarik balik selepas menghantar empat kali surat rayuan untuk kembali bersama parti.