KLUANG – UMNO Bahagian Sembrong sekali lagi membawa usul supaya penggantungan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ditarik balik serta-merta tanpa sebarang syarat.
Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, ini merupakan tahun kedua usul tersebut dibawa oleh bahagian itu, selaras dengan kehendak majoriti ahli perwakilan yang mahu bekas Menteri Kanan Pertahanan itu kembali aktif dalam parti.
“Tahun lepas pun UMNO Bahagian Sembrong membawa usul yang sama supaya penggantungan keahlian Datuk Seri Hishammuddin yang dikenakan selama enam tahun itu ditarik balik.
“Kehendak ahli-ahli di Sembrong jelas, mereka mahu penggantungan itu dilepaskan tanpa syarat,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong di Rumah Komuniti UMNO Sembrong pada Sabtu.
Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Pengerusi UMNO Johor merangkap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Bahagian, Datuk Noraslina Zainal Abidin; Ketua Pemuda, Hafiz Ariffin dan Ketua Puteri, Noreha Hussin.
Abdul Ghani menegaskan bahawa langkah ini penting, terutamanya menjelang kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 yang semakin hampir.
**media[3173692]**
“Bagus kalau pemimpin-pemimpin seperti beliau dapat dikembalikan. Datuk Seri Hishammuddin seorang yang mempunyai aura tersendiri, khususnya di Parlimen Sembrong.
"Saya hampir pasti 100 peratus pengundi Sembrong mahukan beliau kekal sebagai calon Parlimen,” ujarnya.
Katanya lagi, pengalaman luas Hishammuddin dalam kerajaan dan parti amat diperlukan bagi memperkukuh semula UMNO serta membantu kepimpinan negara.
“Saya berharap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat menimbangkan usul ini dengan sewajarnya,” katanya.
UMNO sebelum ini melaksanakan pembersihan dalaman parti apabila beberapa pemimpinnya digantung dan dipecat, termasuk Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Hishammuddin digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.