KUALA PILAH – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan bahawa gerak kerja pergerakan wanita parti itu perlu berubah mengikut peredaran masa agar kekal relevan, terutama dalam menyantuni pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, pendekatan yang digunakan tidak boleh bersifat statik dan bergantung kepada kaedah lama yang tidak lagi sesuai dengan situasi serta kehendak politik semasa.
“Gerak kerja yang digunakan pada masa lalu tidak semestinya sesuai untuk digunakan pada masa kini. Oleh itu, insya-ALLAH kita akan perkemas dan sesuaikan pendekatan dari semasa ke semasa.
“Persiapan ini akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula di Sabah, Johor dan Melaka yang dijangka menghadapi pilihan raya negeri dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Wanita UMNO DUN Kuala Pilah di Dewan Datuk Bahaman, di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim serta Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Bibi Sharliza Mohd Khalid.
Noraini yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menekankan bahawa gerak kerja pilihan raya tidak boleh digerakkan hanya pada saat-saat akhir, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan dan tersusun.
**media[3173685]**
“Sebagai contoh, kita adakan kursus dan latihan secara berkala untuk memastikan jentera Wanita UMNO benar-benar bersedia.
“Ini penting kerana kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan memandangkan tarikh pembubaran Parlimen tidak tetap seperti di sesetengah negara lain,” ujarnya.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung hujung tahun ini, beliau berkata, Pergerakan Wanita telah menyuarakan hasrat kepada pucuk pimpinan serta Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri agar lebih ramai calon wanita diberi peluang bertanding.
Namun, tambahnya, segala keputusan berhubung pencalonan diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan tertinggi parti.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa keperluan menghantar jentera dari Semenanjung ke Sabah untuk membantu PRN sedang dalam perhatian dan akan diputuskan pada masa yang sesuai.