KOTA BHARU – UMNO digesa menyusun pasukan yang mantap di setiap bahagian mulai sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang yang hanya berbaki dua tahun setengah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, persiapan awal amat penting bagi memastikan gerak kerja tersusun dan mengelak berulangnya masalah sabotaj serta salah faham dalam kalangan jentera.
“Pilihan raya akan datang dah tak lama lagi, jadi saya minta kepada setiap bahagian menyusun pasukan untuk hadapi pilihan raya ini.
“Apabila cerita soal pasukan, kenalah yang mempunyai semangat dan gerak kerja yang sama. Mesti ada kesefahaman sebab selalunya bila tiba pilihan raya, masa itulah sebenarnya kita tidak memahami di antara satu sama lain,” katanya.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, pasukan yang dibentuk lebih awal juga dapat dikenal pasti siapa yang benar-benar sanggup bekerja untuk parti.
“Dalam proses itu, kita boleh kenal pasti yang mana boleh buat kerja, mana tak boleh buat kerja.
“Pada akhirnya, kami nak kembalikan balik kuasa UMNO dalam mana-mana kawasan yang kita bertanding,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa tidak ada formula khas untuk kejayaan UMNO melainkan pengorbanan dan kesungguhan daripada ahli.
“Formula saya tak ada, tetapi ahli UMNO perlu ada common sense.
“Kita kena buat. Kalau siapa yang tidak mahu bertungkus-lumus untuk berkorban masa, tenaga, dan fikiran untuk sama-sama membina UMNO semula, maka dia tak perlu duduk dalam parti ini,” katanya.