PRU16: UMNO Kelantan mahu Md Alwi Che Ahmad bertanding di Ketereh

KOTA BHARU – UMNO Kelantan memberi bayangan awal untuk menampilkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad sebagai calon yang kembali bertanding bagi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, walaupun PRU masih jauh, jentera parti perlu mula bekerja dengan satu misi jelas memastikan Ketereh kembali menjadi milik Barisan Nasional (BN).

“Kita tak mahu Ketereh kalah, kita mahu menang.

“Insya-ALLAH, saya akan angkat Datuk Seri Md Alwi kepada Presiden parti. Kita pakat buat kerja, biar beliau menang,” katanya semasa berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di sini, pada Sabtu.

Mesyuarat itu dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ahmad Jazlan turut mengesahkan bahawa UMNO Kelantan akan mencadangkan secara rasmi nama Md Alwi, yang juga bekas ahli Parlimen Ketereh, kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dipertimbangkan sebagai calon.

**media[3173512]**

“Saya minta pemimpin atasan agar memasukkan Ketereh sebagai salah satu kawasan tumpuan yang akan ditandingi UMNO dan BN.

“Ketereh ini kawasan penting, penyumbang kepada pembentukan dan kemenangan kerajaan masa depan,” ujarnya.

Mengulas faktor kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri sebelum ini, Ahmad Jazlan menyifatkan kejayaan itu sebagai simbol kebangkitan parti dan bukti bahawa kekuatan gabungan jentera perpaduan menjadi pemangkin utama kemenangan.

“Tak ada formula khusus untuk kami menang di Nenggiri. Itu satu-satunya kerusi yang bukan milik UMNO sebelum ini, tapi kami dapat balik dengan majoriti lebih 3,000 undi.

“Faktor utamanya cuma satu iaitu semua jentera UMNO dan rakan komponen dalam kerajaan perpaduan turun bantu dari seluruh negara,” katanya.

Beliau turut menyeru semua ahli agar bersatu dan menolak sebarang perpecahan yang boleh menggagalkan usaha parti untuk kembali dominan di Kelantan.

Pada 2023, Md Alwi mengumumkan ‘bersara’ dan tidak mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15.