Pertukaran portfolio UMNO-PKR dijangka berlaku

SHAH ALAM - Pertukaran portfolio Kabinet antara menteri UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka berlaku bagi mengisi kekosongan jawatan Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjadi antara nama yang disebut-sebut bakal memangku jawatan Menteri Ekonomi menggantikan Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletak jawatan berkuat kuasa 17 Jun lalu sebelum dilantik sepenuhnya.

Penganalisis politik, Dr G Manimaran berkata, meskipun kerusi tersebut merupakan kuota PKR, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhak memilih sesiapa sahaja untuk memangku portfolio buat sementara.

Namun menurutnya, jika Johari dilantik sebagai pemangku dan berlaku pertukaran portfolio antara UMNO dan PKR, tidak mustahil Naib Presiden UMNO itu akan kekal dengan jawatan tersebut.

“Saya rasa kekosongan ini akan datang daripada PKR, kecuali tukar portfolio. Mungkin UMNO nak Menteri Ekonomi, jadi (Menteri) Kewangan PKR.

“Atau UMNO kata Tengku Zafrul dulu UMNO, itu kerusi UMNO..katakan Zafrul masuk PKR, dia masih kekal di MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), jadi UMNO nak Menteri Ekonomi...saling tukar portfolio mungkin boleh berlaku, tapi jumlah kuota kekal.

“Mungkin Johari memangku, (kemudian) dia akan jadi menteri. UMNO mungkin akan cadang orang lain untuk ganti tempat beliau antaranya (Timbalan Menteri Kerja Raya) Datuk Seri Ahmad Maslan atau Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail diangkat ke peringkat Pusat sebab beliau Naib Presiden UMNO,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Manimaran menambah, Anwar tidak mempunyai banyak masa untuk mengisi kekosongan jawatan Kabinet, justeru lantikan penuh dijangka dibuat pada penghujung Julai atau awal Ogos, sebelum Parlimen bersidang semula memandangkan tempoh cuti Nik Nazmi Nik Ahmad akan berakhir pada Julai.

Katanya, portfolio bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dijangka kekal sebagai kerusi PKR, dengan potensi mengangkat tokoh pemimpin negeri dan barisan pemimpin baharu parti tersebut.

“Sama ada Menteri Besar Selangor dan Datuk Seri Amirudin Shari diangkat ke Pusat atau (Naib Presiden PKR) Datuk Seri R Ramanan,” katanya.

Dalam pada itu, selain Johari, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan juga disebut sebagai calon pemangku bagi jawatan Menteri Ekonomi.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian tidak menolak kemungkinan Anwar memilih pemangku dalam kalangan tokoh teknokrat bagi mengelakkan konflik kepartian.

“Tokoh teknokrat atau ahli ekonomi yang sedang menasihati Perdana Menteri dalam isu berkaitan ekonomi (boleh dilantik). Bukan semestinya ahli politik aktif.

“Sesiapa sahaja boleh pangku...ia tak bersifat tetap sebelum rombakan Kabinet sebenar dilakukan,” ujarnya.

Berhubung lantikan tetap menggantikan Rafizi dan Nik Nazmi, beliau juga senada kemungkinan berlaku pertukaran portfolio antara kementerian termasuk mengangkat muka baharu dalam kalangan pemimpin PKR yang baru dipilih.

“Saya percaya Perdana Menteri akan teliti beberapa nama sebelum dedahkan dan juga mungkin akan ada pertukaran portfolio antara satu kementerian ke kementerian lain, kemudian dibawa muka baharu termasuk pemimpin muda yang menang dalam PKR seperti (Ketua Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Kamil berkata, tiada perbincangan berlaku dengan pihaknya berhubung pengganti bagi kekosongan jawatan Kabinet.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada kebijaksanaan Anwar.

“Secara peribadi, paling penting supaya kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan menjalankan tugas.

“Kita tak ada bincang pun siapa yang akan ganti,” katanya.