SHAH ALAM – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, mendakwa keputusan meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi dibuat selepas merasakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hilang keyakinan terhadapnya.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, situasi berkenaan dapat dilihat apabila pencalonan Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan parti baru-baru ini didakwa mendapat restu penuh daripada Presiden PKR, sekali gus memberi isyarat jelas mengenai kedudukannya dalam parti dan Kabinet.
“Apabila Nurul Izzah bertanding, ia mendapat restu presiden dan Perdana Menteri. Bila sudah ada restu, maknanya presiden sudah hilang keyakinan kepada saya sebagai Menteri Ekonomi.
“Kalau saya kekal, saya akan jadi lame duck minister – menteri yang tidak lagi mendapat kepercayaan Perdana Menteri. Kalau saya teruskan kerja pun, kementerian saya akan terheret sama,” katanya menerusi siaran langsung audio siar Yang Berhenti Menteri di Facebook pada Jumaat.
Terdahulu, Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada 27 Mei lalu, berkuat kuasa Selasa minggu tersebut.
Mengulas dakwaan kononnya beliau ‘merajuk’, Rafizi menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai cubaan menjatuhkan kredibiliti dirinya secara peribadi.
“‘Merajuk’ ini pelik, sebab kalau ikut makna merajuk, ia berlaku bila kita tak dapat sesuatu. Tapi saya ini memang dah jadi menteri, cuma saya tak nak jawatan itu. Jadi tak timbul soal merajuk.
“Letak jawatan mesti bersandar kepada isu yang lebih besar. Kita mahu pimpinan negara yang berprinsip dan bebas menyatakan pandangan,” katanya lagi.
Tambah beliau, kuasa bukan penentu utama kelangsungan politik seseorang, sebaliknya penerimaan rakyat dan usaha membela masyarakat adalah jauh lebih penting.