Himpunan sokong kerajaan Sabah diadakan Sabtu dan Ahad ini

KOTA KINABALU – Satu perhimpunan bagi menzahirkan sokongan kepada Kerajaan Sabah akan diadakan di Jalan Gaya, di sini, pada Sabtu dan Ahad ini.

Menurut kenyataan Gerakan Anak Muda dan Mahasiswa Anak Sabah (Gammas), perhimpunan yang bermula pada jam 2 petang itu dianjurkan oleh mahasiswa dan anak-anak muda di negeri ini.

"Notis perhimpunan juga telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada 16 Jun lalu. Penganjur perhimpunan kali ini adalah Gammas selaku sekretariat penganjur.

"Meskipun perhimpunan ini cuba dihalang oleh beberapa pihak, namun ia tetap akan diteruskan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu lagi, tujuan perhimpunan berkenaan bukan untuk menyaingi Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), sebaliknya bertujuan memberi penerangan kepada umum bahawa majoriti pelajar di UMS sebenarnya tidak menyokong perhimpunan yang dianjurkan oleh Suara Mahasiswa UMS itu.

Antara tujuan lain adalah untuk menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) agar terus diberikan mandat mentadbir Sabah kerana telah bertindak dengan baik dalam menjaga kebajikan mahasiswa dan anak muda melalui pelbagai program bantuan pendidikan.

"Kerajaan GRS–PH juga telah menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di Sabah apabila kilang Kibing dan Nexilis berjaya dibina di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

"Selain itu, kami mempertahankan institusi istana yang menjadi simbol perpaduan pelbagai etnik, agama dan kaum di Sabah agar tidak terus dihina, khususnya oleh pihak yang mempunyai agenda jahat bermotifkan politik, terutamanya individu dari Semenanjung Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, kenyataan itu turut menyatakan gesaan agar kesaksamaan dalam membanteras salah laku rasuah dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

"Atas dasar itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajib membuka semua kertas siasatan berkaitan salah guna peruntukan luar bandar berjumlah RM1.5 bilion melibatkan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal," katanya.