KUANTAN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Indera Mahkota menyelar kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ‘terlepas pandang’ dalam pelaksanaan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga menyebabkan harga biskut dan santan bakal meningkat.
Ketuanya, Ts Ahmad Saifullah Razali berkata, kenyataan tersebut tidak berasas dan memperlihatkan sikap populis tanpa mengambil kira konteks sebenar dasar fiskal semasa.
“Anwar bukan tokoh biasa, sebaliknya beliau merupakan Menteri Kewangan pertama dalam sejarah negara yang berjaya membentangkan belanjawan lebihan (surplus) selama lapan tahun berturut-turut.
“Satu pencapaian yang tidak pernah diulangi oleh mana-mana Menteri Kewangan selepas beliau.
“Ketika itu, Malaysia diiktiraf sebagai antara ‘Harimau Asia’ dengan pertumbuhan ekonomi antara tujuh hingga sembilan peratus setahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Ahmad Saifullah, Anwar turut menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk daripada Euromoney, Asiamoney dan Bank Dunia, yang mengesahkan keupayaan serta integriti beliau dalam pengurusan ekonomi dan kewangan negara.
Katanya, reformasi cukai melalui SST yang sedang dilaksanakan ketika ini adalah sebahagian daripada pelan pemulihan fiskal yang mampan dan progresif.
“Sistem subsidi bersasar, kawalan harga yang teratur dan perluasan kutipan hasil negara adalah strategi jangka panjang untuk memastikan Malaysia bebas daripada ketirisan, rasuah serta ketergantungan luar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Felda Global Ventures (FGV) yang kini dalam keadaan rapuh adalah warisan pentadbiran lalu yang gagal diurus dengan cekap dan berintegriti.
“Jangan cuba mengalihkan perhatian rakyat dengan menyalahkan pihak yang sedang memperbaiki kerosakan tersebut,” tegasnya.
Sehubungan itu, AMK Indera Mahkota menyatakan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan Madani.
“Kami menyeru semua pihak, khususnya anak muda, untuk menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan rekod, bukan berdasarkan persepsi dan propaganda murahan,” ujarnya.
Terdahulu, Dr Muhamad Akmal dilaporkan berkata, bahawa cadangan perluasan pelaksanaan SST sebanyak lima peratus dijangka menyebabkan barangan keperluan asas rakyat seperti biskut dan santan mengalami kenaikan harga.
Menurutnya, Anwar mungkin terlepas pandang terhadap kesan pelaksanaan dasar tersebut kepada rakyat.