KUANTAN – Pas dilihat semakin tidak tentu arah dalam usaha meraih sokongan rakyat Pahang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad.
Beliau berkata, tindakan Pas yang giat menjelajah ke seluruh daerah hampir setiap malam dengan slogan ‘Pas Teraju Pahang’ bertujuan mempengaruhi rakyat kononnya parti itu mampu mentadbir negeri dan menegakkan Islam.
Menurutnya, berbeza dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Pahang yang lebih menumpukan kepada kepentingan rakyat menerusi pelbagai program masyarakat, bukannya berpolitik sepanjang masa.
"Bagaimana Pas mahu meyakinkan rakyat Pahang bahawa mereka mampu mentadbir negeri ini, sedangkan empat buah negeri yang ditadbir mereka sekarang tidak terurus dan gagal menjana ekonomi serta pelaburan yang menguntungkan rakyat?
"Jika mahu memberikan bonus kepada kakitangan awam negeri pun terpaksa merayu kepada kerajaan Pusat, bagaimana mereka mahu membangunkan negeri?" katanya pada Rabu.
Terdahulu, Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar dilaporkan berkata bahawa reaksi segelintir penyokong dan pemimpin UMNO terhadap slogan ‘Pas Teraju Pahang’ seolah-olah seperti orang yang ‘dirasuk syaitan dan kepanasan’.
Mengulas lanjut, Wan Fauzuldin menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Pahang ketika ini mampu memberikan bonus satu setengah bulan gaji dengan minimum RM2,000 kepada kakitangan awam negeri tanpa bantuan kerajaan Persekutuan.
“Bandingkan dengan negeri-negeri yang ditadbir Pas, jumlah bonus yang diberikan terlalu rendah, jika ada sekalipun. Ini satu perbandingan yang memalukan,” katanya.
Tambah beliau, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa Pahang merupakan antara empat negeri yang berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi melepasi paras nasional.
"Negeri lain ialah Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Sudah tentu Selangor, yang juga ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan, menduduki tempat teratas,” jelasnya.
Wan Fauzuldin berkata, rakyat Pahang kini bijak menilai kerajaan mana yang mampu memberikan keselesaan dan kemajuan kepada mereka.
"Mereka tentunya tidak mahu menjadi seperti rakyat di Kelantan atau Kedah yang sentiasa berhadapan dengan masalah asas seperti bekalan air.
"Program dakwah dan keagamaan juga semakin berkembang di Negeri Pahang," katanya.
Selain itu, beliau mengingatkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Pahang pernah bekerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional, dan rakyat dapat menilai sendiri prestasi Pas ketika bersama dalam kerajaan negeri.
“Ketika itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas bersama UMNO dan BN dalam pentadbiran negeri.
"Tetapi apa yang mereka sumbangkan kepada orang Melayu dan Islam di Pahang? Hampir tiada yang boleh dibanggakan,” ujarnya.
Menurut beliau, Pas kini sedar bahawa sokongan terhadap parti itu semakin merosot, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, anak muda dan penjawat awam.
Katanya, keputusan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu membuktikan bahawa gelombang sokongan semakin berpihak kepada Kerajaan Perpaduan.
"Rakyat semakin bijak menilai antara retorik dan keupayaan sebenar untuk mentadbir,” katanya.