Keluarga Abdul Hadi kecewa lawatan Dzulkefly tidak ikut SOP

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi meluahkan rasa kecewa terhadap kehadiran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika melawat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Institut Jantung Negara (IJN), baru-baru ini.

Muhammad Khalil yang juga anak kepada Abdul Hadi mendakwa lawatan tersebut tidak menghormati privasi keluarga dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) lawatan hospital.

Menurut beliau, pihak keluarga turut kesal dengan penyebaran gambar lawatan tersebut yang dimuat naik di media sosial tanpa sebarang kebenaran.

“Mewakili pihak keluarga, kami menyatakan rasa kecewa terhadap sikap Menteri Kesihatan yang tidak menghormati privasi dan SOP lawatan hospital ketika menziarahi Tuan Guru (Abdul Hadi) di Wad Unit Rawatan Jantung (CCU), IJN.

“Malah, penyebaran gambar Abdul Hadi tanpa keizinan keluarga yang dimuat naik di Facebook rasmi Menteri Kesihatan untuk tatapan umum adalah tidak wajar dan sangat tidak beretika.

“Sikap tidak profesional ini amat kami kesali,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Sementara itu, pada Rabu, Dzulkefly dalam hantaran di platform X memaklumkan bahawa keadaan Abdul Hadi yang sedang menerima rawatan di IJN berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkongsi perkembangan tersebut selepas menziarahi Ahli Parlimen Marang itu di pusat perubatan berkenaan.

Terdahulu, Muhammad Khalil memaklumkan bahawa prosedur pembedahan jantung yang dijalani oleh bapanya telah berjaya dilaksanakan.