SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyarankan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Indera Mahkota, Ahmad Saifullah Razali supaya lebih rajin membaca selepas didakwa tidak memahami fakta berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Muhamad Akmal turut menasihati Ahmad Saifullah agar tidak terlalu kuat mengampu kerajaan, khususnya ketika rakyat mula melahirkan kebimbangan terhadap implikasi peluasan skop SST yang bakal berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
"Wahai Ahmad Saifullah, faktanya ialah SST dikenakan ke atas santan dan biskut. Maka, sudah tentu akan berlaku kenaikan harga bagi barangan tersebut.
"Kamu boleh rujuk kepada senarai barangan yang dikenakan SST yang telah dikeluarkan, ya," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Terdahulu, Ahmad Saifullah menyelar kenyataan Muhamad Akmal yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘terlepas pandang’ dalam pelaksanaan peluasan SST sehingga didakwa menyebabkan harga biskut dan santan akan meningkat.
Ahmad Saifullah menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak berasas dan memperlihatkan sikap populis tanpa mengambil kira konteks sebenar dasar fiskal semasa.
Namun, menurut Muhamad Akmal, walaupun Perdana Menteri menyatakan bahawa SST hanya dikenakan kepada golongan berpendapatan tinggi, hakikatnya barangan seperti santan dan biskut turut digunakan oleh golongan berpendapatan rendah.
"Jadi ini bukan retorik politik tetapi fakta.
"Kamu sahaja yang malas membaca dan buat-buat tidak faham. Kalau mahu jadi pemimpin, jangan malas membaca dan jangan terlalu kuat mengampu," katanya lagi.