10 NGO mahu kaum Melayu bersatu laksana agenda dakwah demi kesejahteraan negara

SHAH ALAM - Gabungan 10 badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Gerakan Kesejahteraan Umat Malaysia mengajak kaum Melayu di negara ini bersatu melaksanakan agenda dakwah dan kesatuan untuk mencipta kesejahteraan bersama.

Pengerusinya, Amidi Abdul Manan berkata, pihaknya juga menyarankan kepada setiap lapisan rakyat Malaysia sama ada pemimpin atau masyarakat awam agar berikhtiar mewujudkan negara sejahtera menerusi beberapa perkara.

Menurutnya, semua pihak hendaklah mengutamakan keperibadian dan persekitaran sejahtera serta kekeluargaan bahagia melalui hikmah dan kebijaksanaan.

Katanya, keutamaan juga harus diberikan kepada politik sejahtera yang mengarah kepada kesatuan bukan memecah belah dan tidak bermain dengan sentimen sempit sehingga boleh menimbulkan kebencian selain tidak menggunakan bahan fitnah serta adu domba sesama umat.

"Selain itu, kesejahteraan dalam bidang ekonomi juga perlu ditekankan agar kemakmuran negara dapat dinikmati dan dimanfaatkan oleh semua kelompok, tiada yang tercicir atau pun diketepikan sama ada dari sudut kemudahan mahu pun agihan.

"Seterusnya adalah sosial sejahtera supaya keadilan sosial dapat ditegakkan, kehidupan individu mahu pun berkeluarga berada pada kualiti yang dibanggakan," katanya dalam satu kenyataan bersama pada Rabu.

Kenyataan itu digagaskan oleh Pertubuhan WADAH Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Haluan Malaysia (Haluan), Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) dan Pertubuhan Kumpulan Profesor G70 (G70).

NGO lain ialah Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (Suara)dan Pertubuhan ISLAMI.

Amidi berkata, keupayaan negara dalam mempelopori teknologi juga sangat penting kerana ia mampu memberikan impak kepada kelestarian kehidupan rakyat termasuk pengupayaan media sosial yang lebih harmoni.

"Urusan pentadbiran pula perlu meliputi kecekapan untuk mengekang gejala rasuah dan ketirisan dapat dibanteras untuk memelihara kesejahteraan hidup rakyat,"ujarnya.

Beliau memberitahu, aspirasi Gerakan Kesejahteraan Umat Malaysia itu akan diperluaskan kepada pelbagai NGO, gerakan sivil, profesional, ilmuwan dan agamawan yang menyokong hasrat ini demi kepentingan masa depan negara.